fbpx

Pertempuran burukkan krisis kemanusiaan di Sudan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk melarikan diri dari rumah mereka di Khartoum pada 19 April lalu. – AFP

KHARTOUM – Pertempuran sengit antara dua pasukan tentera di Sudan dikhuatiri memburukkan lagi konflik dan ketidakstabilan politik di negara itu, sekali gus menjerumuskan rakyat ke dalam bencana kemanusiaan yang lebih teruk, lapor akhbar Arab News kelmarin.

Pada 15 April lalu, selepas ketegangan selama berminggu-minggu, pertempuran tercetus di bandar ibu negara, Khartoum, antara Pasukan Tentera Sudan yang dipimpin oleh Abdel Fattah Al-Burhan dan Pasukan Sokongan Pantas (RFS) yang diketuai oleh Mohamed Hamdan Dagalo.

Menurut seorang penduduk, Abdullah Mukhtar, pertempuran yang tercetus secara tiba-tiba itu telah membuatkan kehidupan penduduk di ibu kota menjadi huru-hara. 

“Kira-kira 70 hingga 80 peratus penduduk Khartoum adalah pekerja yang menerima gaji harian. Jika mereka hilang mata pencarian, mereka tetap perlu mencari makan untuk keluarga. Apa yang kami dengar adalah banyak kes rompakan berlaku ketika kawasan kejiranan bergelap kerana ketiadaan bekalan elektrik,” katanya.

Tambah Abdullah, tiada bantuan kemanusiaan asing disediakan di mana-mana lokasi di bandar itu melainkan ia dilakukan menerusi inisiatif penduduk sendiri.

“Saya tidak melihat sebarang bantuan kemanusiaan daripada pihak luar, namun saya memahami keadaan itu. Bagaimana mereka (bantuan asing) mahu datang menyampaikan bantuan ketika lapangan terbang diisytihar sebagai tidak sesuai untuk mendaratkan pesawat?” ujarnya.

Setakat ini, beribu-ribu penduduk meninggalkan bandar Khartoum manakala ramai lagi cuba melarikan diri daripada konflik keganasan tersebut. 

Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, antara 10,000 hingga 20,000 orang telah meninggalkan wilayah Darfur di barat Sudan dalam beberapa hari lepas.

Mereka mencari perlindungan di Chad, negara jiran yang sudah pun memberi perlindungan kepada lebih 370,000 pelarian Sudan dari wilayah berkenaan.

Selama bertahun-tahun, situasi kemanusiaan di Sudan telah pun berada dalam keadaan buruk ekoran sekatan selama berdekad-dekad, kemerosotan ekonomi, keganasan dalam komuniti, cuaca ekstrem dan ketidakstabilan politik.

Malah sebelum pertempuran terbaharu tercetus, Pejabat PBB untuk Penyelerasan Hal Ehwal Kemanusiaan menganggarkan sekitar 15.8 juta daripada 45.6 juta rakyat Sudan memerlukan bantuan kemanusiaan pada 2023. Ia adalah lebih banyak berbanding 1.5 juta orang pada 2021.

Pegawai-pegawai bantuan kemanusiaan berkata, situasi kini akan menjadi lebih buruk.

“Saya bimbang mengenai potensi di mana konflik semasa akan bertukar menjadi perang saudara apabila beberapa pihak luar mungkin turut serta dengan membekalkan senjata api yang lebih banyak.

“Ini bukan sahaja akan membawa kepada kematian lebih ramai orang awam, bahkan menyekat akses bantuan kepada berjuta-juta rakyat yang memerlukan,” kata Pengarah Pelarian Antarabangsa untuk Afrika, Asia dan Asia Barat, Daniel Sullivan.

Pada 19 April lalu, pegawai Kementerian Kesihatan Sudan memberi amaran bahawa sektor itu bakal menjadi lumpuh sepenuhnya ketika 16 hospital tidak dapat beroperasi akibat kekurangan bekalan ubatan dan kakitangan.

Sebelum pertempuran terbaharu tercetus, bekalan makanan, ubat-ubatan dan projek pembangunan sosial adalah terhad di Sudan di mana negara itu memerlukan bantuan kecemasan setiap tahun sejak 1984.

Situasi itu diburukkan lagi oleh ketidaksamarataan dari segi pengedaran kekayaan dan kuasa antara pihak berkuasa pusat dan tempatan, krisis kehilangan tempat tinggal dan kemarau berpanjangan sejak 1980 yang membawa kepada masalah kemiskinan. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI