fbpx

Usaha tingkatkan bilangan pak belang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Harimau Malaya kini hanya tinggal 200 ekor di dalam hutan di negara ini.

HARIMAU Malaya merupakan antara haiwan yang semakin diancam kepupusan susulan aktiviti penerokaan hutan yang berlaku di negara ini.

Turut dikenali sebagai harimau belang, haiwan ini merupakan subspesies harimau yang hanya didapati di Semenanjung Malaysia.

Populasi Harimau Malaya juga dianggarkan hanya tinggal sekitar 200 ekor yang hidup liar di dalam hutan.

Susulan angka yang semakin berkurang, terdapat pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak sebagai langkah untuk melindungi haiwan tersebut.

Ini termasuk usaha pemuliharaan Harimau Malaya oleh Taman Negeri Royal Belum, di bawah pengurusan Perbadanan Taman Negeri Perak (PSPC).

Menurut Pengarah PSPC, Mohamed Shah Redza Husein, inisiatif tersebut merupakan salah satu langkah bagi melindungi populasi haiwan berkenaan.

“Usaha ini adalah dedikasi kami bagi melindungi Harimau Malaya yang sangat terancam di Royal Belum.

“Ia juga secara tidak langsung menjadikan Taman Negeri Royal Belum sebagai kubu kuat populasi harimau di negara ini dan pada tahun-tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau lagi, dalam perjuangan PSPC melindungi Harimau Malaya, pihaknya juga dibantu oleh Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia.

Jelasnya lagi, WWF Malaysia telah bekerjasama dengan PSPC sejak 2017 dengan memberikan bimbingan dan sokongan untuk mencapai amalan terbaik yang akan membawa kepada kejayaan pemuliharaan harimau.

Kerjasama tersebut juga telah membuahkan hasil apabila PSPC mendapat kelulusan Conservation Assured |Tiger Standards (CA|TS).

CA|TS ialah skim akreditasi global yang menggalakkan kawasan pemuliharaan harimau untuk memenuhi satu set piawaian bagi mengurus tapak secara berkesan mengikut amalan terbaik, membolehkan pemuliharaan harimau dan pemulihan populasinya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Sophia Lim berkata, pencapaian tersebut merupakan satu langkah besar ke arah mewujudkan impak pemuliharaan jangka panjang untuk Harimau Malaya.

SOPHIA yang menerajui WWF Malaysia komited untuk terus melindungi Harimau Malaya.

“Dengan kelulusan CA|TS, kami yakin usaha pemuliharaan yang berterusan di Belum-Temengor akan diperkukuh dengan ketara.

“Ini juga menghantar mesej kuat kepada dunia bahawa kami komited, dan kini menyertai usaha yang sama dilakukan di Nepal, India, Bhutan, Russia dan China dalam melindungi harimau,” ujarnya.

Tambahnya, kelulusan itu turut meletakkan Malaysia pada peta sebagai negara pertama di Asia Tenggara yang melaksanakan CA|TS.

Kelulusan tersebut juga datang pada masa yang sesuai iaitu sempena Hari Harimau Sedunia yang akan datang pada 29 Julai 2023.

Dalam usaha mendapat kelulusan CA|TS, WWF Malaysia turut bersama PSPC sepanjang proses akreditasi.

PSPC juga telah melaksanakan beberapa siri inisiatif untuk memenuhi pematuhan piawaian seperti mengukuhkan pengurusannya, kakitangan, hubungan pihak berkepentingan, penglibatan masyarakat dan perlindungan populasi harimau.

Inisiatif ini termasuk rondaan intensif melalui Rempuhan Projek WWF-Malaysia, di mana Orang Asli digerakkan untuk kerap meronda hutan di Taman Negeri Royal Belum dan penubuhan pasukan peronda Orang Asli Jahai, MENRAQ untuk perlindungan harimau.

Selain itu, pemantauan berterusan harimau dan populasi mangsanya juga sedang dijalankan oleh WWF Malaysia untuk menilai kesan daripada inisiatif ini.

Selain WWF Malaysia, usaha pemuliharaan Harimau Malaya di Kompleks Hutan Belum-Temengor adalah inisiatif kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Kerajaan Negeri Perak, PSPC, Yayasan Maybank, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Unit Perancang Ekonomi Perak, Jabatan Perhutanan Perak, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.

Sophia berharap agar usaha tersebut juga dapat meningkatkan populasi Harimau Malaya di negara ini.

“Kami berharap bersama-sama PSPC usaha kami ini akan menyaksikan jumlah harimau Malaya meningkat dua kali ganda atau sekurang-kurangnya meningkat, dalam masa terdekat.

“Ini turut akan memperakui komitmen PSPC dan Taman Negeri Royal Belum dalam menyokong usaha pemuliharaan harimau,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI