fbpx

Anak cucu tidak kunjung tiba, rupanya mati kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Ghani (kanan) terkedu melihat jenazah anak dan cucunya di pekarangan Rumah Mayat HSNZ, Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Kiriman pesanan menerusi aplikasi WhatsApp pukul 5 pagi menjadi penghubung terakhir antara seorang pemandu e-hailing dengan bapanya sebelum dia maut dalam kemalangan bersama anak perempuannya di Pulau Kerengga, Marang hari ini.

Abdul Ghani Sulong, 69, berkata, berdasarkan kiriman pesanan tersebut, anaknya, Subhi Sayuti, 43, memberitahu mereka berhenti bersahur di Kijal, Kemaman.

Menurut warga emas itu, dia kemudian ke surau berhampiran untuk menunaikan solat subuh sambil menunggu ketibaan Subhi bersama anak perempuan sulung, Syuhada Hafiya, 7.

“Lama saya menunggu namun Subhi yang ditunggu tidak kunjung tiba. Pada mulanya saya menyangkakan dia mungkin berhenti berehat.

“Begitupun, kami kemudiannya dikejutkan dengan berita arwah telah meninggal dunia dalam kemalangan manakala cucu saya kritikal pada pukul 10 pagi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Abdul Ghani berkata, tambah memilukan, dia menerima berita buruk kedua iaitu pemergian cucunya, Syuhada Hafiya sebaik tiba di HSNZ.

Dia berkata, isterinya, Fatimah Karim, 65, yang menghidap kanser usus juga sedang menjalani rawatan di hospital sama.

“Ikut perancangan asal, arwah anak saya dan anak sulungnya sepatutnya beraya dengan kami di Taman Hidayah, Marang manakala isterinya, Nurhaliza Henderi, 30-an, dan anak bongsu mereka pula beraya di Sandakan, Sabah.

“Isterinya berhajat beraya di kampung halamannya kerana sepanjang perkahwinan mereka, belum dia pernah meraikan Aidilfitri di Sabah. Anak saya (Subhi Sayuti) mengizinkannya,” katanya.

Abdul Ghani berkata, tragedi yang berlaku beberapa hari sebelum 1 Syawal ini sangat memberi kesan kepada keluarganya, namun mereka reda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI