fbpx

P. Pinang perlu bantuan NADMA laksana pembenihan awan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan air di empangan Teluk Bahang hari ini. - Foto oleh SAFINA RAMLI/ KOSMO!

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang memerlukan bantuan segera daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk mendapatkan syarikat atau agensi yang berkelayakan bagi menjalankan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan empangan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K.Pathmanathan berkata, kerajaan negeri telah menulis surat kepada NADMA meminta bantuan segera untuk operasi pembenihan awan itu dijalankan.

“Oleh kerana perubahan iklim, taburan hujan yang rendah direkodkan di kawasan tadahan air empangan Air Itam dan empangan Teluk Bahang, ia telah menyebabkan kapasiti efektif empangan menyusut dengan ketara di mana kapasiti efektif empangan Air Itam kini pada tahap 49.5 peratus manakala empangan Teluk Bahang pada kadar 50.7 peratus.

“Kapasiti efektif kedua-dua empangan iaitu empangan Teluk Bahang dan empangan Air Itam ini diunjurkan akan terus susut kepada tahap kritikal jika musim kemarau semasa berlanjutan hingga Ogos depan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan RM400,000 bagi pelaksanaan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan air kedua-dua empangan itu.

“Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah merujuk kepada Jabatan Meteorologi mengenai status terkini syarikat yang layak yang boleh menjalankan operasi pembenihan awan.

“Bagaimanapun, tiada syarikat yang boleh memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” jelasnya.

Oleh itu, katanya, kerajaan negeri tidak mempunyai pilihan selain meminta bantuan NADMA untuk campur tangan dan memudahkan pelaksanaan operasi pembenihan awan secepat mungkin.

“Kami berharap NADMA akan mengutamakan dan memenuhi permintaan Pulau Pinang kerana operasi pembenihan awan diperlukan secepat mungkin untuk mencetuskan hujan yang akan mengisi semula empangan Air Itam dan empangan Teluk Bahang.

“Pulau Pinang mesti mengelak potensi krisis bekalan air yang boleh menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya kepada 1.74 juta orang dan mengganggu semua aktiviti sosioekonomi yang telah menyumbang RM99 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara pada 2021,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI