fbpx

Dubai bukan sekadar Burj Khalifa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENULIS berjaya merakam momen indah ketika menaiki belon panas.

SUDAH lama penulis impikan percutian ke Dubai, bandar pelancongan serba mewah dan sofistikated yang terletak di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Perjalanan di Dubai bermula dengan dugaan apabila beg bagasi penulis didapati hilang ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai.

Ini menyebabkan penulis terpaksa mengitar semula pakaian sepanjang 10 hari berada di bandar yang dikenali sebagai Venice of the Gulf itu.

Namun, keindahan Dubai yang kaya dengan pelbagai destinasi pelancongan baik daripada bangunan pencakar langit serba mewah sehingga alam semula jadi yang belum terusik membuatkan percutian ini cukup bermakna.

Di Dubai, antara tempat wajib dilawati adalah bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa yang memiliki 163 tingkat dengan ketinggian 828 meter (m).

Setiba di dek pemerhatian yang terletak di aras 124, penulis terpesona dengan panorama bandar Dubai yang dihiasi dengan pelbagai mercu tanda di sekeliling bangunan itu.

Selain Burj Khalifa, penulis juga tidak melepaskan peluang untuk melakukan skydiving yang telah lama berada dalam bucket list.

Di Skydive Dubai, pengunjung bukan sahaja boleh melakukan terjunan tandem (bersama tenaga pengajar) atau solo, malah mereka juga boleh memilih sama ada mahu melakukannya semasa matahari terbit atau terbenam.

Burj Al-Arab memiliki pantai tersendiri.

Terjunan dilakukan dengan pemandangan padang pasir yang terbentang luas sememangnya pengalaman sekali seumur hidup.

Penulis memilih untuk melakukan terjunan tandem dengan pemandangan matahari terbenam. Sebenarnya, penulis melakukan aktiviti ini sebanyak dua kali sepanjang percutian tersebut.

Tidak cukup dengan itu, penulis juga berpeluang untuk mengamati keindahan Dubai dengan menaiki belon udara panas ketika matahari terbit.

Pancaran sinaran mentari pada waktu pagi menerangi bandar Dubai menghidupkan lagi landskap bandar yang sibuk dan pesat tersebut.

Paling menarik, pakej belon panas tersebut disertai dengan perkhidmatan ambil dan hantar dari pelbagai hotel terkemuka di sekitar bandar tersebut, sekali gus memudahkan urusan pelancong yang mahu ke sana.

Tidak lengkap percutian ke Dubai sekiranya tidak mencuba safari di gurun sambil menaiki kenderaan pacuan empat roda bersama pemandu tempatan.

PENULIS tidak melepaskan peluang melakukan aktiviti skydiving ketika di Dubai.

Selain merasai pengalaman meredah padang pasir, penulis turut melawat kem komuniti Badwi iaitu nomad di padang pasir.

Antara aktiviti lain yang boleh dilakukan adalah aktiviti menaiki kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), menaiki papan pasir dan makan malam barbeku.

Program safari di gurun menawarkan pakej dua jam sehingga separuh hari bergantung pada aktiviti yang mahu dilakukan.

Tidak dilupakan, penulis juga sempat melawat Burj Al Arab iaitu satu-satunya hotel yang mendapat pengiktirafan bertaraf tujuh bintang di dunia.

Hotel mewah ini bukan sahaja memiliki pantai persendirian, malah mempunyai ‘helipad’ dan pulau persendirian.

Biarpun beg bagasi penulis ditemui selepas selesai percutian ini, namun pengalaman manis di Dubai membuatkan semuanya cukup berbaloi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI