fbpx

Wan Maimunah rindu nak bersuami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUTIN Syawal Wan Maimunah saban tahun diraikan bersama anak angkatnya, Ita di Ijok, Kuala Selangor.

PETALING JAYA – Pelakon air mata, Wan Maimunah mengakui sunyi sepi bakal menyambut Aidilfitri tanpa lelaki bernama suami untuk kesekian kalinya.

Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Wan Maimunah Wan Abdul Aziz itu sentiasa bersyukur kerana dikelilingi insan-insan yang baik hati buat masa sekarang.

“Bila usia dah makin meningkat ini, orang ‘single’ macam saya sering terkenangkan kalau saya jatuh sakit, siapa akan ada di sisi.

“Kalau ada suami atau pasangan, sudah tentu bila sakit, dia akan jaga makan minum pakai kita. Itupun kalau dapat pasangan yang baik. Seseorang yang tahu untuk menghargai baik buruk kita.

“Sudah tentu saya rindu untuk bersuami tapi itu tidak bermakna saya perlu termenung dan menunggu lelaki sesuai yang ingin berdamping dengan saya sebagai seorang suami.

“Pada usia sekarang, saya fikir kalau ada, ada lah. Kalau tiada (jodoh) lagi, saya pun okey dan akan meneruskan kehidupan seperti biasa. Ramai lagi orang sayang,” katanya kepada Kosmo! Online ketika dihubungi sebentar tadi.

Pelakon yang cukup dikenali menerusi drama rantaian, Tanah Kubur itu memaklumkan, raya kali ini akan berjalan seperti kebiasaan di rumah anak angkatnya, Ita di Ijok, Kuala Selangor.

“Saya ini menumpang kasih orang. Saya cukup bersyukur dengan kehadiran Ita dalam hidup. Walaupun saya ini sekadar ibu angkat, dia layan macam saya ini darah dagingnya.

“Rasa macam biasa. Ada berada di Ijok kebanyakan masa. Kalau Ita balik Negeri Sembilan, saya akan ikut sekali kalau dipelawa. Itu sahajalah rutin raya sekarang.

“Bila dah semakin berumur ini, tengok orang tersenyum bahagia, kita pun ikut rasa sekali walaupun perasaan itu bukan milik kita sepenuhnya. Kita tumpang orang punya bahagia walaupun hanya dengan melihat,” katanya lagi.

Ditanya mengenai hidup tanpa suami, Wan Maimunah berkata, dia tidak kesunyian kerana selain dua cahaya mata, hidupnya juga dikelilingi ramai anak angkat yang sentiasa mengambil berat.

“Buat apa nak rasa sunyi sangat. Nanti mati seorang diri juga di dalam kubur. Segala harta, kasih sayang bersama orang lain akan dipisahkan dengan kita.

“Alhamdulillah, Allah kurniakan saya kesihatan yang baik pada usia sekarang dan pada masa sama, dikelilingi manusia yang baik hati sentisa tak lokek dengan kasih sayang. Walaupun saya ini bukanlah siapa-siapa tidak mempunyai pertalian darah buat diri mereka,” katanya.

Terdahulu, perkahwinan terakhirnya dengan seorang pengusaha makanan dari Johor pada Disember 2013 sempat bertahan dua tahun sebelum mereka mengambil keputusan berpisah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI