fbpx

Dua premis seleweng diesel bersubsidi diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguat kuasa KPDN melihat peralatan digunakan sindiket menyeleweng diesel subsidi dalam satu serbuan di Sungai Petani baru-baru ini. -Foto IHSAN KPDN

PUTRAJAYA- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi di dua lokasi sekitar kawasan Perusahaan Sungai Lalang di Sungai Petani, Kedah dengan nilai rampasan sekitar RM579,050.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, serbuan dilakukan pada 9 April lalu dibuat hasil risikan selama sebulan terhadap premis disyaki dijadikan stor penyimpanan dan pemindahan diesel bersubsidi .

“Dalam serbuan lokasi pertama, sejumlah 3,000 liter minyak diesel ditemukan dalam sebuah tangki bersama beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan bahan bakar itu.

“Minyak diesel serta beberapa peralatan lain disita untuk siasatan lanjut dan rampasan di lokasi pertama dianggarkan berjumlah RM34,450,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Dalam serbuan kedua pula, katanya, KPDN berjaya menahan enam individu tempatan berusia antara 24 hingga 49 tahun ketika mereka melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel daripada sebuah lori ke dalam tangki lain.

“Modus operandi dilakukan adalah menggunakan lori tangki membawa bahan kimia untuk mengaburi pihak berkuasa dan orang awam.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis itu telah menemukan sejumlah 28,000 liter minyak diesel serta beberapa peralatan lain digunakan untuk kegiatan penyelewengan,” jelasnya.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan di lokasi serbuan kedua dianggarkan berjumlah RM544,600.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu atau syarikat terlibat serta rantaian pengedaran termasuklah sumber minyak diesel diperolehi dan diedarkan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, katanya, berdasarkan statistik penguatkuasaan Ops Tiris bermula 1 Mac sehingga 9 April 2023, sebanyak 4,054 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 110 kes telah dihasilkan melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM3.56 juta.

“Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 1.6 juta liter minyak diesel telah dirampas di seluruh negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI