fbpx

Pas perlu mohon maaf, fitnah Tanah Rizab Melayu menurun di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Juwairiya.

SHAH ALAM – Pas wajar memohon maaf kerana cuba memfitnah dan menipu warga Selangor berhubung dakwaan keluasan Tanah Rizab Melayu (TRM) telah menurun mendadak sebanyak 3,200 hektar dari tahun 2019 hingga 2021.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli berkata, dakwaan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi dalam sebuah laporan portal berita itu adalah fitnah kerana tidak menepati fakta.

“Faktanya, keluasan TRM Selangor berjumlah 160,233.86 hektar pada 2013. Sejak Pas tidak lagi menjadi sebahagian dari kerajaan negeri mulai 2018, keluasan TRM Selangor meningkat secara strategik kepada 162,657.71 hektar ( 2019) dan 163,138.24 hektar (2021).

“Ini bermaksud keluasan TRM di bawah pentadbiran Pakatan Harapan Selangor telah meningkat sebanyak 2,904.38 hektar,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau menjelaskan peningkatan itu termasuk pewartaan di Hilir Tambahan – Hulu Langat, Kundang – Kuala Langat, Selayang Pindah – Gombak, Ulu Semenyih – Hulu Langat, dan Bukit Cherakah – Petaling.

Tegas Juwairiya, Kerajaan Selangor terus komited untuk memelihara keluasan TRM agar dipantau secara rapi melalui Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

“Justeru, Pas wajar memohon maaf kerana cuba memfitnah dan menipu warga Selangor. Pas harus muhasabah dan mengelak daripada amalan tercela dengan menyebar fitnah, terutamanya pada bulan Ramadhan ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI