fbpx

Isu Mentega Terbang, Viu kaji kandungan sebelum tayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONTROVERSI filem Mentega Terbang tidak memberi impak negatif kepada Viu yang bertindak selaku platform tayangan.

KUALA LUMPUR – Filem kontroversi, Mentega Terbang menjadi pengajaran kepada platform penstriman Viu agar lebih berhati-hati dalam memilih kandungan untuk tayangan kepada penonton.

Pengarah Produksi (Fizikal), Viu Malaysia, Imillya Irwani Roslan berkata, pihaknya akan mengkaji semula semua kandungan luar yang ditayangkan dalam platform berkenaan agar tidak menyentuh sensitiviti agama dan masyarakat.

“Selepas isu ini kami lebih berhati-hati dan akan pantau semula serta rujuk kepada pihak sepatutnya jika terdapat keraguan berkaitan perkara sensitif.

“Berbeza dengan kandungan original yang mana kita sememangnya kawal dari awal sampai akhir projek. Saya akan pastikan apa yang boleh atau perlu dielakkan.

“Kami juga bekerja rapat dengan Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) dan sebolehnya mengikut garis panduan yang ditetapkan mereka,” ujarnya usai majlis berbuka puasa bersama artis Viu, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Imillya berkata, kontroversi filem Mentega Terbang tidak memberi impak negatif kepada laman penstriman berkenaan.

Isu tersebut juga tambah Imillya, langsung tidak menjejaskan operasi bisnes dan jumlah langganan mereka.

“Filem itu sudah dihentikan tayangan dan semestinya ada kerugian tapi kami sedar itu risiko yang perlu ditanggung.

“Syukur tiada impak buruk kepada kami, bisnes berjalan seperti biasa dan ketika itu kami sibuk dengan kandungan original Nenek Bongkok Tiga.

“Mungkin ramai faham kami tiada kena mengena dengan filem itu, hanya sebagai platform tayangan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Imillya berkata, pihaknya menyasarkan untuk menerbitkan lima hingga enam kandungan original sepanjang tahun.

“Kandungan original ada pengikut tersendiri. Tidak dinafikan kebanyakan penonton Viu lebih kepada K-drama tapi juga tetap tertarik dengan original siri.

“Setakat ini Viu ditayangkan di 16 buah negara dan alhamdulillah ada penambahan penonton setiap tahun. Malah ramai penonton kandungan original termasuk negara jiran seperti Indonesia,” ujarnya.

Awal Mac lalu, filem Mentega Terbang arahan Khairi Anwar menerima kecaman ramai kerana memaparkan elemen menyentuh sensitiviti masyarakat terutamanya umat Islam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI