fbpx
Di sebalik kejayaan Anggun Cotton Collection yang meraih anugerah Superbrands Malaysia Choice 2020 dengan jualan puluhan juta ringgit dan Aidilfitri ini sahaja sudah menjual 300,000 pasang, pengasasnya, Noraini merendah diri dan bersederhana.- Foto Mohd. Farizwan Hasbullah

Nurani kesederhanaan Noraini ‘bos’ baju kurung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Genap 10 tahun yang lalu menjadi titik tolak ibu kepada dua cahaya mata ini menemui ‘cinta’ baharunya.

Tidak pernah kenal dunia perniagaan sementelahan tiada ahli keluarga yang menceburinya, suri rumah itu bersama adik perempuannya sekadar suka-suka menjadi reseller kain pasang sebelum akhirnya serius mengusahakan perniagaan baju kurung.

Daripada seorang yang sekadar berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Noraini Hanipah kini berjaya membawa label yang dikemudinya, Anggun Cotton Collection (ACC) ke persada jaya apabila begitu dikenali ramai sehingga dianugerahkan Superbrands Malaysia Choice 2020 dan mampu meraih jualan puluhan juta ringgit tahun lalu.

Berpeluang bertentang mata dengan pengasas ACC itu baru-baru ini, wanita kelahiran Mersing, Johor ini tampak bersederhana dan merendah diri. Memartabatkan fabrik kapas iaitu satu material sederhana, begitulah jua boleh dikatakan empunya diri.

“Saya suka fabrik kapas dan baju kurung kerana saya ni orang kampung. Lagi pula pakaian fabrik kapas memang selesa dipakai,” ungkap Noraini sekali gus menonjolkan sisi dirinya.

Tidak lokek berkongsi mengenai bidang perniagaan yang diceburi sejak tahun 2013, Noraini berkata, pada awalnya, dia dan adik perempuannya hanya mengambil upah menjual kain pasang secara online.

“Pada masa itu, online atau jualan dalam talian masih belum berapa hit dan baru nak naik, tapi jujur, pada ketika itu, memang agak susah untuk menjual kerana online pun orang tak berapa kenal.

“Enam bulan pertama berniaga, saya dan adik memang tidak pernah makan gaji dan hanya mula merasa ‘gaji’ sendiri selepas enam bulan berniaga,” katanya yang ditemui berbaju kurung polos rona ungu di butik dan pejabat ACC di Senawang, Negeri Sembilan.

Bersama suaminya, Mohd. Syazrin Yahya yang turut menjadi tonggak bisnes.

Menurut Noraini, dia dan adiknya menjadi reseller kain pasang hingga tahun 2017 sebelum dia bersama adiknya memberanikan diri menceburi perniagaan baju kurung sekali gus mengasaskan jenama ACC.

“Pada Julai 2017, kami mula sedar trend kain pasang pada ketika itu semakin menurun dan tidak mendapat sambutan. Dari situ, kami mula berfikir untuk cipta baju kurung ready to wear.

“Kami keluarkan wang simpanan sebanyak RM200,000 yang sifatkannya sebagai ‘modal berani mati’ untuk menempah tujuh design (rekaan) daripada pihak lain sebelum kami akhirnya mengeluarkan rekaan sendiri.

“Hari ke hari nama ACC mula dikenali dan meniti di bibir pengguna. Kini, lebih 3,000 rekaan eksklusif telah kami keluarkan. Pun begitu, tidak dinafikan ada juga rekaan yang ‘pancit’ dan kurang dapat sambutan,” ujarnya sambil tertawa kecil.

Di sebalik kejayaan yang diraih syarikat Anggun Legacy Global Sdn. Bhd. hingga hari ini, ramai tidak tahu sepak terajang dan jatuh bangun yang terpaksa dilalui Noraini serta adiknya, Norafizah.

Katanya, persaingan merupakan perkara normal dan menjadi asam garam buat sesiapa sahaja yang terjun dalam bidang bisnes.

“Apa yang saya boleh katakan, siapa nak bina bisnes orangnya kena kental dan emosi kena kuat dan tidak boleh sesekali ‘koyak’ apabila ditegur. Nak jadi pengasas dan pemilik perniagaan juga haruslah berfikir panjang dan jauh ke hadapan.

“Alhamdulillah Allah kurniakan saya dengan pemikiran yang jauh dan kreatif untuk menghasilkan pelbagai rekaan baharu mengikut trend dan permintaan pelanggan,” katanya yang pernah kerugian lebih RM1 juta sebelum ini.

Akuinya lagi, dia juga pernah difitnah dan diuji dengan masalah kesihatan dua tahun sewaktu membangunkan perniagaan.

Orang ramai membeli-belah di Anggun Cotton Collection, Senawang,

Menurutnya, masalah kesihatan itu membuatkan badannya kurus kering dan tidak dapat bekerja dipercayai buatan orang akibat hasad dengki.

“Kita bermula menjadi reseller pada Mac 2013 dan tiga bulan sertai kami antara yang pernah capai Top 1 daripada 25 seller sekali gus mendahului peniaga lain yang telah dua tiga tahun bersama.

“Biasalah asam garam dalam perniagaan, mesti ada yang cemburu dan tidak senang hati. Jadi, entah macam mana, tiba-tiba saya dan adik difitnah dan dibuang daripada 25 seller tersebut dan tidak dibenarkan lagi mengambil kain pasang serta perlu usahakan cari kain pasang sendiri.

“Sejak dari itu, saya memang risau untuk teruskan bisnes. Saya pernah hubungi ayah dan beritahu tak nak lagi berbisnes, tetapi ayah bagi semangat untuk saya teruskan berniaga dan jangan fikir orang lain,” tuturnya.

Dia diuji dengan penyakit misteri sekitar Oktober 2016 hingga 2018 sebelum nekad pergi ke Tanah Suci Mekah mengerjakan ibadah umrah.

Katanya, masalah kesihatan tersebut membuatkannya hampir putus asa meneruskan perniagaan.

“Bayangkan pada masa itu saya langsung tidak boleh makan. Badan jadi kurus kering. Alhamdulillah saya masih boleh berjalan, tapi rasa cepat penat walaupun hanya duduk tanpa berbuat apa-apa.

“Bila pergi hospital pun doktor bingung dan tak tahu saya derita sakit apa. Saya jadi gelisah dan serba tidak kena sepanjang hari. Jadi, suami dan adik bawa berubat secara Islam di beberapa tempat.

“Alhamdulilah dua tahun menanggung derita, dengan izin Allah saya kembali sihat dan boleh bekerja seperti biasa. Sejak itu juga, pada hujung 2018 saya berniat bawa keluarga ke Mekah mengerjakan umrah,” katanya.

Beritahunya, semasa di Mekah, dia berdoa agar berjaya dalam perniagaan dan memasang niat membantu serta berkongsi rezeki dengan orang ramai sekiranya diizinkan.

Noraini bersyukur sehingga kini diberi peluang membantu lebih 50,000 dropship di bawah kendaliannya selain staf tetap yang menguruskan lebih 3 juta pelanggan setianya.

“InsyaAllah jika tiada aral melintang, lepas raya nanti kami akan berpindah ke Wisma Anggun di Seremban 2 dan bakal melancarkan tujuh lagi butik secara keseluruhan sebelum 2025,” katanya.

Pada bulan Ramadan yang mulia, Noraini tidak lupa menyantuni golongan yang kurang bernasib baik, misalnya baru-baru ini, dia dan syarikatnya telah mengadakan majlis bersama sebuah rumah anak yatim di Muar, Johor.

Mengulas pemakaian baju kurung pada Aidilfitri, Noraini berkata, baju kurung dan hari raya cukup sinonim bagi kaum Hawa.

“Trend baju kurung sentiasa ada setiap kali raya. Cuma, pada tahun ini, rekaan baju kurung bernuansa klasik kembali diminati,” katanya yang tidak sabar pulang beraya di kampung di Mersing selama satu minggu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN