fbpx

JKKP Perak siasat dua kes kemalangan di tempat kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

IPOH – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak menjalankan siasatan berhubung dua kes kemalangan maut di tempat kerja, kelmarin.

Pengarahnya, Dr. Rabaayah Daud berkata, insiden itu masing-masing berlaku di Terminal Maritim Lumut membabitkan lelaki tempatan berusia 20 tahun dan dua lelaki warga Bangladesh di kawasan kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai.

“Kes pertama di Lumut membabitkan lori dipandu mangsa terjatuh ke dalam laut. Kejadian berlaku ketika mangsa menjalankan kerja-kerja pemunggahan batu kapur.

“Pasukan siasatan diarahkan ke lokasi kejadian untuk menyiasat. Berdasarkan siasatan awal, JKKP mengeluarkan arahan kepada majikan untuk mengambil tindakan penambahbaikan agar insiden sama tidak berulang,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, kejadian kedua melibatkan dua lelaki warga asing yang maut setelah jengkaut dipandu terbalik. Siasatan mendapati mangsa berusia 26 tahun adalah pekerja di syarikat kuari manakala seorang lagi masih belum diketahui identitinya.

“Susulan itu, kita mengeluarkan arahan larangan kacau ganggu sehingga siasatan dan tindakan penambahbaikan diambil pihak majikan.

“Satu notis pembaikan dikeluarkan kepada majikan kerana gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi aktiviti pengoperasian jengkaut di kawasan kuari tersebut,” katanya.

JKKP Perak akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI