GEORGE TOWN – Sesiapa yang pernah berkunjung ke bazar Ramadan Bayan Baru di sini, pastinya tertarik dengan aroma pelbagai jenis ikan bakar yang disaluti sambal ramuan istimewa.
Peniaga ikan bakar itu, Hazrol Izam Abdul Hamid, 43, berkata, jualan ikan bakar di gerainya laris sejak beroperasi awal Ramadan lalu meskipun dia baru pertama kali berniaga di bazar.
Dia menjalankan perniagaan itu bersama adiknya, Muhammad Hakimi Abdul Hamid, 38, dengan dibantu dua pekerja sambilan.
“Kami menjual pelbagai jenis ikan bakar termasuk keli, tilapia, pari, kembung, siakap dan jenahak pada harga yang berpatutan mengikut saiz.
“Setakat ini, ikan yang paling mendapat sambutan adalah siakap bersaiz kecil yang dijual pada harga hanya RM10 seekor,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Hazrol memberitahu, menu ikan bakar itu dipilih bagi ‘digandingkan’ dengan sambal yang dihasilkan sendiri oleh adiknya.
“Perniagaan ikan bakar ini dijalankan secara bermusim kerana apabila masuk musim buah nanti, mungkin kami akan menjual durian pula,” katanya.














