fbpx

Isu pengendali umrah, bakal jemaah jumpa SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian yang hadir bagi memohon siasatan ke atas sebuah syarikat agensi umrah di SPRM, Putrajaya, hari ini. Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA- Sebuah syarikat pengendali umrah dan haji terus menjadi perhatian apabila sekumpulan bakal jemaah tampil ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), di sini, hari ini.

Difahamkan, seramai 15 orang bakal jemaah umrah itu mula berkumpul di pekarangan SPRM pada pukul 9.30 pagi bagi membuat laporan kepada suruhanjaya berkenaan.

Salah seorang mangsa, Rusman Abu Samah, 55, berkata, hasratnya bersama isteri mengerjakan umrah pada 10 malam terakhir di bulan Ramadan tidak kesampaian apabila menerima makluman tentang pembatalan tempahan pada saat akhir.

Jelas Rusman, dia sudah menjelaskan bayaran penuh kira-kira RM42,000 kepada syarikat itu Februari lalu sebelum menerima perkhabaran duka daripada agensi menerusi sidang Zoom pada Ahad.

“Mereka kata segala pakej umrah di bulan Ramadan dibatalkan atau ditangguhkan. Kami tidak tahu sebab dan tak nak tahu sebab apa kerana itu hal mereka, kami cuma mahu pergi umrah pada bulan Ramadan.

“Sepatutnya kalau syarikat gagal untuk bagi (jemaah berlepas), mereka perlu maklumkan seawal yang mungkin, bukannya maklumkan bila dah masuk bulan puasa kerana kami mahu beriktikaf 10 malam terakhir di sana,” katanya ketika ditemui pemberita, di hadapan Ibu Pejabat SPRM.

Ketika ditanya mengenai laporan dibuat, Rusman memaklumkan dia bersama bakal jemaah yang lain hadir ke SPRM hanya bertujuan meminta pandangan.

“Kami tak nak ulas bab (laporan) SPRM, kami (hanya) minta pandangan, tiada laporan yang difailkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rusman berkata, dipercayai terdapat kira-kira 200 bakal jemaah yang terkesan serta tidak dapat menunaikan umrah buat masa ini dengan anggaran kerugian sekitar RM2 juta.

Katanya, apa yang dirayu oleh semua semua bakal jemaah ketika ini supaya syarikat berkenaan dapat melangsaikan semua pembayaran balik kepada pelanggan mereka yang membuat tempahan.

“Tuntutan kami, kami mahu (syarikat) bayar segera kepada semua, saya mewakili bakal ahli jemaah yang terkesan dan sudah jelaskan pembayaran penuh, bukan sikit-sikit tapi libatkan puluhan ribu ringgit.

“Jangan beri alasan seperti umrah boleh sekali, Raudah penuh, bagi kami itu hanya alasan yang tidak kukuh,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI