fbpx

12,800 doktor kontrak diserap dalam tempoh tiga tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited untuk menyerap seramai 12,800 doktor kontrak dalam tempoh tiga tahun bermula dengan hampir 4,300 pegawai kontrak diserap sebagai lantikan tetap pada tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, baki pegawai kontrak disasarkan untuk diserap menjelang 2025 dan dianggarkan melibatkan peruntukan tambahan sekitar RM1.7 bilion.

“Sebab itu saya merayu sementara tuntutan itu munasabah bahawa mereka berkhidmat sekian lama, (tetapi) tahun ini untuk kita selesaikan semua tidak mampu. Setakat ini, jumlah keseluruhan pegawai perubatan lantikan kontrak 20,330. Hampir 12,800 pegawai perubatan kontrak yang telah tamat ‘housemanship’.

“Jadi saya harap dapat dimengerti tidak ada sama sekali niat kita meremehkan kerana doktor kontrak ini berkhidmat dengan baik, berkorban masa dan tenaga dan memang negara memerlukan, cuma untuk tahun ini kita tambah RM1.7 bilion bagi saya ini maksimum yang dapat kita lakukan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Panglima Madius Tangau (PH-Tuaran) mengenai jumlah pegawai perubatan lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam dan implikasi kewangan yang terlibat jika semua mereka diserap jawatan tetap.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kerajaan bersetuju elaun bertugas ‘on-call’ pegawai perubatan diperluas kepada pegawai perubatan di enam klinik projek rintis mengatasi kesesakan fasiliti kesihatan awam.

“Elaun tambahan diberikan kerana sekarang ini elaun-elaun ini tidak termasuk bagi yang bertugas di klinik kesihatan atau jabatan kecemasan. Waktu perluasan dipanjangkan merangkumi hari pelepasan mingguan kepada enam klinik kesihatan yang terlibat dalam projek rintis bagi mengurangkan kesesakan hospital kerajaan,” katanya.

Tambahnya, beliau juga telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan mengkaji kemudahan itu dipanjangkan kepada semua kakitangan perkhidmatan lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI