fbpx

13 pekerja pusat operasi perjudian dalam talian dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUCHING-Seramai 13 orang pekerja sebuah pusat operasi perjudian dalam talian yang menggunakan sebuah rumah di Jalan Stampin, di sini dicekup dalam serbuan yang dijalankan oleh pasukan Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata kesemua suspek terdiri daripada tujuh lelaki tempatan dan enam lelaki warga asing yang berusia dalam lingkungan 18 hingga 36 tahun.

“Kesemua pekerja terbabit merupakan pengendali di pusat perjudian dalam talian itu sejak tiga bulan lepas dengan bayaran gaji sebanyak RM1,500 sebulan.

“Setiap mereka juga akan dibayar amaun sebagai bonus berdasarkan peratusan keuntungan yang diperolehi sindiket,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata kesemua suspek diupah untuk mengendalikan pusat perjudian berkenaan dan akan membuat panggilan kepada pelanggan sebagai salah satu cara bagi mempromosikan perjudian dalam talian.

Katanya selain panggilan telefon, mereka juga mempromosikan perjudian dalam talian menggunakan aplikasi dan laman sosial seperti WhatsApp, Telegram, WeChat, Skype dan Facebook.

Dalam pada itu, Mohd Azman berkata siasatan awal mendapati pusat perjudian itu telah beroperasi secara syif untuk tempoh 24 jam sejak tiga bulan lepas.

“Berdasarkan rekod dan transaksi yang berjaya disemak, dipercayai jumlah keuntungan kasar bagi sindiket terbabit mencecah RM1,000 sehari dan RM30,000 sebulan,” katanya.

Beliau menambah turut dirampas pelbagai peralatan termasuk sembilan unit komputer, 26 unit telefon bimbit, modem dan peralatan-peralatan lain yang digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

Justeru, Mohd Azman berkata polis kini sedang mengesan pemilik rumah yang digunakan oleh sindiket berkenaan untuk beroperasi.

Katanya kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi terbuka 1953 yang membawa denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 serta penjara selama tidak melebihi tiga tahun.

Selain itu, denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 turut dikenakan bagi setiap mesin judi yang dirampas.

Beliau berkata permohonan reman ke atas semua suspek akan dibuat hari ini di Mahkamah Kuching. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI