fbpx

Jurulatih ‘miang keladi’ sah letak jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH (tengah) bergambar bersama atlet Footgolf wanita negara ketika pelancaran kempen itu di Kelab Golf Bukit Jelutong, Shah Alam semalam. – MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

SHAH ALAM – Jurulatih berbasikal bukit (MTB) yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang atlet wanita di bawah kendaliannya disahkan telah meletakkan jawatan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau mendapat maklumat berhubung perkara itu, namun tidak dapat memastikan bila jurulatih ber­kenaan membuat keputusan tersebut.

“Walaupun telah meletakkan jawatan, siasatan terhadapnya berhubung kes itu masih dijalankan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (PKBM).

“Tapi latihan pasukan berbasikal yang dikendalikan jurulatih itu sebelum ini dihentikan ketika ini,” katanya selepas melancarkan kempen tabung Persatuan Footgolf Malaysia di Kelab Golf Bukit Jelutong di sini semalam.

Mengulas lanjut berhubung kes tersebut, Hannah memaklumkan, beliau sendiri memantau perjalanan siasatan kes itu dan akan memastikan satu tindakan dapat dikenakan terhadap jurulatih terbabit.

Menurutnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan berkompromi dengan perilaku gangguan seksual yang berlaku terhadap mana-mana atlet di bawah kendalian mereka.

“Selepas baca laporan (berhubung kes ini), saya terus hubungi MSN dan telah ­mengaktifkan pegawai pelindung kita yang ditempatkan dalam majlis tersebut.

“Saya akan maklumkan kepada pihak media (perkembangan siasatan kes ini) selepas mendapat laporan daripada pegawai pelindung yang ditugaskan me­lakukan siasatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hannah memuji tindakan atlet wanita itu yang membuat laporan polis terhadap apa yang berlaku kepadanya.

Malah beliau berharap dengan pengenalan Kod Sukan Selamat yang diperkenalkan KBS bulan lalu dapat mengatasi gangguan seksual di dalam kementerian itu pada masa akan datang.

Semalam, arena sukan negara digemparkan dengan seorang atlet MTB wanita negara berumur 20-an membuat laporan polis, susulan gangguan seksual yang dilakukan oleh jurulatihnya.

Hal ini didedahkan oleh PKBM semalam dan persatuan itu kini sedang menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI