fbpx

Tubuh jawatankuasa tangani isu doktor kontrak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA- Jemaah Menteri bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu berkaitan doktor kontrak yang menjadi topik hangat diperkatakan ketika ini.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, jawatankuasa itu akan menggabungkan beberapa kementerian dan agensi termasuk Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

“KKM menyedari isu doktor kontrak telah lama diwarisi daripada kerajaan terdahulu sejak ia diperkenalkan pada tahun 2016 akibat daripada lambakan keluaran doktor di pasaran ketika itu.

“Isu itu telah diperbincangkan di mesyuarat Kabinet pada 31hb Mac 2023 yang akhirnya bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Sementara itu, bercakap mengenai mogok doktor kontrak, Dr. Zaliha berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat lanjut berkenaan mogok tersebut buat masa ini.

“KKM berpandangan mogok bukanlah suatu jalan penyelesaian terbaik terhadap apa juga permasalahan yang timbul berkaitan dengan profesion pegawai perubatan atau mana-mana skim profesional lain.

“Sebaliknya perkara itu perlu ditimbang dengan teliti kerana perkhidmatan kesihatan merupakan suatu perkhidmatan kritikal ekoran ia melibatkan nyawa manusia dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya.

Katanya, KKM sentiasa mengambil tindakan terhadap permasalahan serta permintaan yang ditimbulkan oleh anggota kesihatan.

“Antaranya adalah mewujudkan perjawatan tetap, memberi penajaan latihan kepakaran atau latihan lanjutan, kenaikan pangkat secara ‘time-based’, peluang kenaikan ke gred khas selain pengwujudan gred UD56 untuk pakar perubatan dan sebagainya.

“Skim kesihatan yang lain juga diambil peduli dan ditambah baik kerana kami sentiasa peka dengan permasalahan serta permintaan yang ditimbulkan.

“KKM juga akan memastikan segala permasalahan dan permintaan diteliti sesuai dengan isu semasa serta diberi penyelesaian sewajarnya berdasarkan kepada kemampuan ekonomi negara,” katanya.

Justeru, tegasnya, mogok dilihat bukan jalan terbaik dan permasalahan timbul perlu ditangani dengan penglibatan bersama secara profesional dan berhemah.

“Selaku penjawat awam sama ada berjawatan tetap mahupun kontrak adalah tertakluk kepada integriti penjawat awam dan Etika Perkhidmatan Awam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI