fbpx

Trump bekas Presiden AS pertama didakwa kes jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TRUMP didakwa atas tuduhan jenayah kerana mengatur pembayaran wang 'tutup mulut' di New York kelmarin. -- AFP

WASHINGTON – Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump didakwa atas tuduhan jenayah di New York kelmarin kerana peranannya dalam mengatur pembayaran wang ‘tutup mulut’ yang dibuat kepada bintang filem dewasa semasa kempen pilihan raya Presiden pada 2016, lapor portal berita The Hill.

Dakwaan terhadap beliau melakar sejarah kerana ini adalah kali pertama seorang bekas Presiden AS didakwa kerana kesalahan jenayah.

Perkembangan itu berlaku ketika beberapa agensi penguatkuasaan undang-undang melancarkan siasatan terhadap Trump.

Beliau dijangka dihadapkan ke mahkamah Selasa ini, demikian menurut sumber rapat dengan bekas presiden itu. Apabila Trump hadir di mahkamah pertuduhan terhadapnya akan dibaca dengan kuat.

Dakwaan yang masih belum didedahkan kepada umum itu menyusuli siasatan oleh Peguam Daerah Manhattan, Alvin Bragg yang tertumpu kepada bayaran AS$130,000 (RM573,105) oleh peguam Trump, Michael Cohen kepada bintang filem dewasa, Stormy Daniels

Syarikat Trump melabelkan pembayaran oleh Cohen itu sebagai perbelanjaan undang-undang dan tidak mendedahkannya dalam laporan perbelanjaan kempen pilihan raya.

Cohen mengaku bersalah pada 2018 dan dihukum penjara kerana peranannya dalam perkara itu.

Dia dituduh melakukan penyelewengan wang kempen dan menipu cukai. Cohen mendakwa bahawa Trump mengarahkannya supaya membuat pembayaran kepada Daniels dan bekas Presiden AS tersebut membayar balik kepadanya secara ansuran bulanan termasuk bonus.

Pembayaran itu dibuat sebagai sebahagian daripada perjanjian sulit supaya Daniels menutup mulut ketika bersedia untuk mendedahkan kepada umum bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan Trump. Bekas Presiden AS itu menafikan dakwaan Daniels.

Trump berulang kali menolak siasatan itu sebagai ‘berniat jahat’ dan sebelum itu meminta penyokongnya membantah penahanannya.

“Presiden Trump telah didakwa. Beliau tidak melakukan apa-apa jenayah. Kami akan bersungguh-sungguh melawan pendakwaan bermotifkan politik ini di mahkamah,” kata peguam bekas Presiden AS itu, Joe Tacopina dan Susan Necheles dalam satu kenyataan bersama.

Sementara itu, pemerhati-pemerhati undang-undang berkata, dakwaan terhadap Trump berkemungkinan tertumpu kepada perbuatan memalsukan rekod perniagaan.

Undang-undang negeri melarang membuat catatan palsu dalam rekod perniagaan. Trump dan Cohen mungkin didakwa kerana membuat pembayaran untuk perkhidmatan undang-undang yang tidak pernah diberikan.

Pertuduhan jenayah feloni (ringan) itu boleh dikaitkan dengan jenayah kedua dengan beliau boleh dihukum penjara maksimum empat tahun jika bersalah.

Menurut portal berita The Guadian, Daniels baru-baru ini bertemu dengan pihak pendakwa raya Manhattan dan menjawab soalan mereka tentang pembayaran daripada bekas Presiden AS itu.

Peguam aktres filem dewasa itu, Clark Brewster berkata di laman Twitter pada 15 Mac lalu: “Stormy (Daniels) menjawab soalan dan telah bersetuju untuk menjadikan dirinya sebagai saksi atau untuk siasatan lanjut jika diperlukan.”

Kira-kira tiga tahun selepas dakwaan berlakunya pertemuan seksual Trump dengan Daniels, seorang pelajar kolej New Orleans yang kemudiannya bekerja sebagai pekerja politik Parti Demokrat melancarkan kempen yang membuatkan Daniels mempertimbangkan untuk bertanding menentang David Vitter yang ketika itu menyandang jawatan Senator Parti Republikan dari negeri Louisia­na. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN