fbpx

Senat AS mansuh kuasa Presiden lancar perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASKAR Iraq berkawal dekat bandar Qaim di sempadan Iraq-Syria pada 11 November 2018. – AFP

WASHINGTON – Beberapa de­kad selepas Amerika Syarikat (AS) menceroboh Iraq pada 1991 dan 2003, Dewan Senat akhirnya memansuhkan kebenaran melancarkan perang yang diberikan kepada Presiden AS, lapor laman berita RT kelmarin.

Pemansuhan itu bagi meng­halang Presiden AS menggunakannya untuk melancarkan lebih banyak konflik ketenteraan pada masa hadapan.

Anggota Dewan Senat kelmarin mengundi 66-30 untuk membatalkan dua Kebenaran Penggunaan Kekuatan Tentera Terhadap Iraq (AUMF).

AUMF memberi kuasa kepada Presiden AS untuk melancarkan operasi ketenteraan di luar negara tanpa memerlukan kelulusan Kongres.

Perang Iraq pada 2003 yang menyalahi Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dimulakan oleh pentadbiran bekas presiden George W. Bush atas dakwaan palsu bahawa pe­mimpin Iraq, Saddam Hussein membangunkan senjata pemusnah besar-besaran. Senjata itu didakwa boleh digunakan untuk
menghancurkan AS.

“AS, Iraq dan seluruh dunia telah berubah secara dramatik sejak 2002 dan kini tiba masanya untuk undang-undang AUMF turut diubah,” kata Ketua Majoriti Senat, Chuck Schumer.

Tambah Schumer, AUMF telah digunakan lebih lama daripada yang sepatutnya.

“Setiap tahun ia (AUMF) kekal berkuatkuasa. (AUMF) menjadi tahun di mana pentadbiran AS akan datang boleh menyalahgunakannya untuk memulakan konflik peperangan baharu di rantau Asia Barat.

“Rakyat AS tidak mahukan perang dan mereka sudah letih dengan peperangan tanpa henti di rantau berkenaan,” ujarnya.

Cadangan memansuhkan un­dang-undang itu seterusnya perlu diluluskan oleh Dewan Perwakilan sebelum diserahkan kepada Presiden Joe Biden untuk ditandatangani. Menurut White House, Biden menyatakan perse­tujuan untuk menamatkan AUMF.

“Seramai 4,500 tentera AS terbunuh, 3,100 cedera dan ratusan ribu rakyat Iraq terkorban. Apa yang perlu kita renungkan adalah realiti bahawa kita terlampau gopoh dalam melancarkan perang,” kata wakil rakyat Parti Demokrat dari negeri Virginia, Tim Kaine.

Cadangan pemansuhan itu bagaimanapun ditentang oleh ramai pemimpin Parti Republikan termasuk Ketua Minoriti Senat, Mitch McConnell. Beliau berhujah bahawa AUMF tidak menyebabkan salah guna kuasa oleh Presiden.

Ia sebaliknya memberi kebebasan kepada White House untuk bertindak ke atas ancaman di seluruh dunia pada waktu genting.

“Saya menentang tindakan Kongres yang ingin menamatkan kebenaran penggunaan kekuatan tentera AS di Asia Barat. Musuh kita tidak menghentikan perang mereka terhadap kita.

“Apabila kita mengerahkan tentera kita ke dalam marabahaya, kita perlu membekalkan mereka dengan semua sokongan dan undang-undang yang boleh,” ujarnya menjelang sesi pengundian tersebut.

Bekas presiden Barack Obama menamatkan perang Iraq secara rasmi pada 2011. Tiga tahun kemudian, beliau kembali mengerahkan tentera AS ke negara itu bagi menentang kumpulan pengganas Daesh.

Tentera AS kemudian secara haram menceroboh jiran Iraq, Syria di mana mereka terus menduduki negara yang kaya dengan hasil minyak itu hingga ke hari ini. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI