fbpx

Guna teknologi nuklear rawat kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramanan (depan, dua dari kanan) mendengar taklimat daripada wakil THKD mengenai teknologi baharu perubatan kanser.

TEKNOLOGI perubatan nuklear merupakan inovasi dalam perkhidmatan diagnostik dan terapeutik bagi penyakit kanser.

Biarpun sudah lama bertapak dalam industri perubatan, namun kaedah perubatan berkenaan baru berkembang dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi peralatan yang mengguna pakai teknologi terkini.

Tidak hanya itu, teknologi perubatan nuklear sudah mendapat tempat dalam arena perubatan tempatan dengan memanfaatkan potensinya bagi pengesanan dan perubatan kanser secara terperinci.

Salah sebuah pusat penjagaan kesihatan yang memanfaatkan teknologi tersebut adalah Hospital Thomson Kota Damansara (THKD), Petaling Jaya, Selangor.

Bukan sekadar kaedah perubatan, THKD menawarkan Mediso AnyScan SPECT/CT/PET iaitu peralatan pengimejan perubatan nuklear Tri-modaliti pertama di rantau Asia Pasifik.

Ketua Pegawai Eksekutif THKD, Wan Nadiah Wan Mohd. Abdullah Yaakob berkata, kanser merupakan salah satu keadaan yang perlu dihadapi oleh ramai rakyat Malaysia.

“Sudah menjadi tanggungjawab kami sebagai penyedia penjagaan kesihatan untuk memastikan masyarakat mampu bertahan dan menjalani kualiti hidup yang baik setelah didiagnosis kanser.

“Onkologi dan Perubatan Nuklear di THKD direka untuk menempatkan semua modaliti rawatan kanser di bawah satu kemudahan.

“Ia menawarkan penjagaan pelbagai disiplin dengan pengalaman terbaik sepanjang perjalanan pesakit,” katanya semasa berucap pada pelancaran kemudahan Onkologi dan Perubatan Nuklear di THKD baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan.

DR. ZOOL HILMI (kiri), Wan Nadiah (dua dari kiri) dan Ramanan (dua dari kanan) sewaktu merasmikan kemudahan Onkologi dan Perubatan Nuklear di THKD baru-baru ini.

Tambah Wan Nadiah, kemudahan tersebut telah melakukan lebih 1,200 prosedur diagnostik dan terapeutik kepada pesakit onkologi seperti serviks, payudara, paru-paru, rektum, kepala, leher dan otak.

Kongsinya lagi, terapi perubatan nuklear seperti Yittrium-90, Lutetium-177, Ac-225 dan Terapi I-131 dos tinggi sedang dalam perancangan.

Ujarnya, perkhidmatan radioterapi dan radiosurgeri akan dikhususkan kepada rawatan ginekologi, hematologi dan pediatrik.

THKD juga membayangkan kerjasama dengan institusi penjagaan kesihatan lain di dalam dan luar negara bagi membolehkan terapi kanser diakses oleh lebih ramai orang.

Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Nuklear dan Ketua Perubatan Nuklear THKD, Dr. Zool Hilmi Awang memberitahu, alat diagnostik perubatan nuklear menyediakan tomografi berkomputer untuk korelasi anatomi.

Katanya, ia merupakan penambahbaikan dalam penjagaan kanser serta mengenal pasti kawasan hipermetabolisme yang digambarkan dalam PET.

“Ia melibatkan suntikan pengesan radioaktif selamat yang membantu mengesan sel berpenyakit seperti yang disyorkan oleh pakar.

“Dalam pada itu, kita boleh merawat kanser seperti tumor neuroendokrin, kanser prostat dan kanser tiroid.

“Ini bermaksud, kita merawat apa yang dilihat dan kita melihat apa yang dirawat,” ujarnya.

Kemudahan Onkologi dan Perubatan Nuklear menyediakan spektrum perkhidmatan kanser yang komprehensif meliputi pencegahan, diagnosis, rawatan sokongan dan penjagaan paliatif.

Ia juga menawarkan rangkaian penuh pembedahan, terapi sistemik, radioterapi dan perubatan nuklear.

Pada masa sama, kemudahan itu menawarkan perkhidmatan berkaitan seperti ujian makmal, pengimejan diagnostik, pemakanan, pemulihan, farmasi dan sokongan psikososial.

THKD secara berterusan menyokong ekosistem berkembang yang memacu keselamatan, kesihatan dan kebahagiaan masyarakat.

Hospital berkenaan akan terus meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk menampung pesakit semasa dan berpotensi.

THKD juga menyasarkan untuk menawarkan penjagaan perubatan yang komprehensif dengan standard antarabangsa tertinggi melalui kemudahan bertaraf dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI