fbpx
ALIFF kini hilang tanpa sebarang berita selepas satu lagi kes selingkuh melibatkannya didedahkan seorang wanita bernama Sarah Yasmine.

Saya bukan wali – Aliff Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGAKUI sering terkhilaf dan mudah alpa, Aliff Aziz meminta khalayak tidak terlalu menghakimi kesilapan yang dilakukan. Tegasnya, dia hanya manusia biasa, bukan malaikat.

“Saya tak suka tengok kesalahan orang lain kerana dalam setiap benda tak baik yang terjadi, mesti ada kesilapan datang daripada saya sendiri.”

Itu pengakuan dari bibir penyanyi dan pelakon Aliff Aziz atau nama sebenarnya, Mohammad Aliff Aziz berhubung rangkaian kontroversi yang hinggap dalam kehidupannya, termasuk yang terbaharu, isu ‘cinta lokasi’ melibatkan pelakon, Sophia Albarakbah.

Ujar pelakon berusia 32 tahun itu, dia hanya ingin mendepani kehidupan dengan cara positif dan bijak dalam menangani segala sepak terajang seorang anak seni.

“Saya nak bergerak ke hadapan, jadi lebih bijak dan rajin, insya-Allah. Alhamdulillah, dalam bermacam-macam dugaan saya terima, masih dikurniakan rezeki daripada Allah SWT.

“Itu semua peringatan untuk saya menjadi manusia yang lebih baik pada masa akan datang. Saya mencuba dan mendoakan yang terbaik buat semua orang juga,” katanya.


Aliff mengakui dia tidak pernah berhenti berusaha untuk menjadi manusia yang lebih baik.

Istiqamah dakwah

Ditanya tentang istiqamah dirinya menjadi insan yang lebih baik dari semasa ke semasa, pelakon drama rantaian, Ku Akad Kau Dengan Bismillah itu mengakui usaha itu bukan mudah. Dalam perjalanan menuju destinasi baharu, pasti akan ada dugaan yang menanti.

“Saya cuma nak ingatkan apabila seseorang itu mencuba untuk melakukan yang terbaik atau berhijrah atau pun cuba mendekati agama, itu adalah perjalanan mereka dengan Allah.

“Kita manusia biasa yang tak lari daripada melakukan kesilapan. Yang lemah. Kita mungkin ‘tersasar’, atau terbuat silap, saya mengharapkan agar diri diberikan peringatan.

“Cuma kadang-kadang, cara sesetengah orang memberi peringatan sangat kasar. Saya sebar perkara yang benar bukan kerana saya baik. Kerana saya tak baiklah saya sebarkan perkara yang hak dengan harapan

Allah memberikan kebaikan kepada diri kita.

“Bukan kerana saya rasa diri ini warak atau alim sebab sebar dakwah. Takkan kita nak tunggu orang alim saja sebar dakwah. Lumrah manusia memang tak pernah sempurna,” terangnya.

Teruja dengan kedatangan bulan Ramadan, Aliff bagaimanapun tetap sibuk dengan penggambaran drama untuk satu projek drama rantaian slot Akasia TV3.

Salah, tetap salah

Bapa kepada dua cahaya mata itu tidak menafikan timbul rasa sedih apabila golongan selebriti yang mendekati agama sering dipandang serong hanya kerana satu dua kesilapan tercetus daripada segelintir pihak.

“Bukan saya nak menegakkan benang yang basah. Apa kesalahan yang saya buat, memang salah. Tapi, apabila artis yang sertai tabligh perangai begini dan begitu, perihal terbabit membuatkan saya sedih.

“Misalnya, kalau seseorang itu buat silap, orang lain datang dan cakap, ‘kau ni baik tak payah sembahyanglah, kau perangai teruk’,” getusnya.

Ujar Aliff lagi, memang menjadi kewajiban untuk sesama Muslim memberi teguran, namun perlulah dengan cara berhemah agar semua dapat maju ke hadapan dan memberi bakti kepada agama.

“Saya tiada masalah dengan teguran. Itu satu kewajiban sesama Muslim tetapi, tetapi janganlah sampai menjatuhkan motivasi seseorang itu terus dekat dengan agama.

“Maaf cakap, tetapi yang berikan kata-kata sedemikian kebanyakannya orang Melayu sendiri. Melayu dan beragama Islam.

“Saya hanya hamba Allah yang lemah. Saya seorang penghibur. Saya bukan wali tapi saya nak belajar mendalam tentang agama. Perjalanan hidup setiap orang di muka bumi ini berbeza-beza,” simpulnya.

Ujian datang dalam bermacam bentuk. Aliff sendiri sedar, sejak bergelar selebriti popular, setiap dugaan yang dilaluinya menjadi pengajaran mematangkan dirinya.

‘Tegur baik-baik’

Mengulas lanjut, Aliff berkata, sesiapa sahaja di muka bumi ini layak dikirimkan doa tidak kira status, pangkat atau darjat waima seseorang itu bekerja dalam bidang hiburan seperti dirinya.

“Komen yang bukan-bukan, adakah mereka ingin golongan artis jauh daripada agama atau macam mana?

“Adakah mereka rasa puas hati kalau artis yang tersilap langkah dan membuatkan seseorang itu tinggalkan agama?” soalnya.

Aliff menekankan bahawa setiap manusia mempunyai tanggungjawab dan amanah untuk menyebarkan
benda-benda yang baik. Untuk itu, serunya agar perihal tersebut dijadikan satu kelaziman biarpun terlibat atau terbaca situasi yang tidak begitu positif terutamanya dalam media sosial.

“Kalau betul-betul khalayak prihatin atau ambil kisah, kita patut panjatkan doa bukan terus menghentam dengan kata-kata.

“Tapi pada masa saya, saya bersyukur ramai yang mendoakan saya untuk terus jadi lebih baik.

“Cuma itulah. Saya cuma nak ingatkan, apa yang kita cakap atau dalam media sosial, itu akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

“Insya-Allah kalau kita tegur cara baik, akan ada rahmat dalam setiap teguran,” ujarnya menggulung perbualan.

Menurut Aliff, golongan selebriti sering menjadi mangsa kecaman segelintir masyarakat tanpa menyedari bahawa di dunia ini tiada manusia yang sempurna dan bebas daripada melakukan dosa. – FARIZ RUSADIO
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN