KUANTAN – Tiga beradik termasuk dua perempuan melalui dugaan besar apabila menjalani ibadah puasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa ibu bapa tersayang selepas pasangan itu terlibat dalam kemalangan maut di Setiu, Terengganu kelmarin.
Kejadian pada pukul 1 tengah hari itu meragut nyawa Faizul Azman Awang, 44, dan isterinya, Habsah Ismail, 42. Pasangan itu meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala anak mereka, Muhammad Daniel Dzulkarnain, 13, ditidurkan akibat cedera parah.
Anak saudara mangsa, Nur Shafira Nadia Muhamad, 36, berkata, pemergian serentak pasangan itu memberi kejutan besar buat dua anak mereka, Nur Hafyna Elyana, 22, dan Nur Farysya Eryany, 19, yang masih trauma dengan kehilangan tersebut.
“Buat masa ini, mereka akan tinggal bersama keluarga terdekat kerana kebanyakan kami tinggal berdekatan.
“Kami dimaklumkan Daniel ditidurkan kerana jantungnya lemah, retak tulang punggung, bahagian lehernya patah dan saluran darah pula tersumbat,” katanya di sini semalam.
Menurut Nur Shafira, semasa kejadian, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan pulang melawat ahli keluarga yang meninggal dunia di Kuala Besut.
Kali terakhir dia berhubung dengan ibu saudaranya pada pukul 11 pagi hari kejadian sebelum mesej yang dihantar melalui WhatsApp tidak berbalas.
“Dia (arwah) sempat bergurau beritahu semua saudara mara berkumpul kecuali saya.
“Sebenarnya dia ada mempelawa saya pergi ke Kuala Besut menaiki MPV (kenderaan pelbagai guna) jenis Proton Exora, tetapi saya terpaksa menolak kerana bercadang mahu pergi bersama dengan suami,” ujarnya.
Dalam pada itu, Habsah sempat meluahkan rasa sedih atas pemergian abang iparnya menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya beberapa jam sebelum kemalangan.
“Pergimu (abang ipar) di hari dan bulan yang baik. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Salam takziah buat keluarga kakak ipar, tiada lagi gurau senda dan senyum tawamu.
“Abang Gie (panggilan abang ipar) sentiasa dalam kenangan kami. Arwah selalu tunggu kami kalau ke Besut. Ya Allah semoga syurga untuk abang iparku, amin,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik sebelum nahas yang meragut nyawanya.














