fbpx

27 ditahan, cubaan sindiket dadah lari atas bumbung flat digagalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara ahli sindiket dadah yang ditahan pasukan polis selepas cuba melarikan diri ke atas bumbung di Flat Jinjang Baru, Kuala Lumpur, pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seramai 27 individu dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah ditahan selepas menjadikan empat buah rumah sewa sebagai pusat aktiviti edar dadah dalam serbuan di tingkat empat flat Jinjang Baru, di sini, pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul dan Kuala Lumpur telah menjalankan risikan terhadap satu sindiket pengedaran dadah yang bergerak aktif di kawasan daerah ini.

Katanya, operasi pukul 5 pagi hingga 10 pagi tadi terhadap sindiket tersebut dilancarkan dengan bantuan Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) untuk menangkap 19 suspek yang melarikan diri ke atas bumbung dan memecahkan pintu rumah yang tebal.

“Dalam operasi itu, seramai sembilan lelaki dan seorang wanita diberkas di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

“Hasil serbuan ke atas kawasan tersebut juga telah menangkap seorang lelaki di bawah Seksyen 39B ADB 1952, dua lelaki di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952, 13 lelaki di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan seorang lelaki di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Kesemua suspek merupakan warga tempatan berusia antara 23 hingga 40 tahun dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Yahaya, turut dirampas 59.44 gram methamphetamin manakala lain-lain rampasan melibatkan dua buah kereta jenis Perodua Myvi, sebuah motosikal jenis Yamaha Y15, beberapa barang kemas dan wang tunai berjumlah RM603.

Dalam pada itu, ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif amphetamine dan methamphetamine serta mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

“Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti ahli sindiket yang terlibat dan sumber bekalan diperolehi. Kesemua ditangkap akan ditahan reman pada esok,” ujarnya.

Justeru itu, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39(A)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah – Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Bahagian III Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Hasil dari tangkapan dan rampasan tersebut, polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang bergerak aktif di kawasan Sentul sejak enam bulan lalu.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI