fbpx

Rokok seludup, mercun dan bunga api RM170,000 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YUSHARIFUDDIN (kanan) berdiri di belakang timbunan bahan rampasan berupa rokok seludup, mercun dan bunga api di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar di sini hari ini.

KANGAR – Polis merampas sejumlah rokok seludup, mercun dan bunga api tanpa permit bernilai RM170,000 dalam dua kes berasingan di sekitar Kangar baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, serbuan pertama membabitkan rokok seludup dilakukan pada 20 Mac lalu lalu.

“Dalam serbuan Op Kontraban sekitar pukul 5 petang itu, pasukan penguatkuasa menyerbu sebuah kedai runcit di Kampung Padang Behor selepas mendapat maklumat awam dan risikan.

“Dalam serbuan pertama, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 59 tahun dan merampas 49 karton rokok pelbagai jenis dipercayai tiada duti kastam,” katanya ketika sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Yusharifuddin, berpandukan maklumat serbuan di lokasi pertama, polis menyerbu lokasi kedua iaitu sebuah rumah di Taman Sentosa, Kuala Perlis dan menjumpai sejumlah 473 karton rokok putih pelbagai jenama tanpa duti kastam.

Tambahnya, suspek mempunyai rekod rekod pecah rumah dan kesalahan Akta Bahan Letupan 1957 itu direman sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1976.

Sementara itu, dalam satu lagi serbuan pada 21 Mac, bertindak atas maklumat Ops Kontraban, polis menyerbu sebuah premis di kawasan Jalan Bukit Lagi dipercayai memiliki dan menyimpan mercun serta bunga api tanpa permit.

Menurut Yusharifuddin, hasil pemeriksaan menjumpai 36 kotak besar yang di dalamnya mengandungi 1,560 kotak kecil dan besar, 150 bungkusan kecil dan besar dan 15 ikatan pelbagai jenis mercun dan bunga dipercayai untuk dipasarkan sempena perayaan Aidilfitri nanti.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek berusia 54 tahun itu tidak memiliki permit sah untuk memiliki, menyimpan dan menjual mercun dan bunga api.

“Siasatan awal mendapati suspek baru sahaja mendapatkan bekalan dalam tempoh dua minggu sebelum tangkapan dilakukan, namun kita masih menyiasat adakah lelaki itu mendapatkan bekalan daripada pembekal dari dalam atau luar negara,” katanya.

Suspek yang memiliki perniagaan alat tulis itu direman sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI