fbpx

AMD komited luaskan perniagaan global di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kon Yeow (tengah) menyaksikan majlis penyerahan perjanjian kerjasama antara AMD Global Services (M) Sdn. Bhd. dan InvestPenang di Komtar hari ini.

GEORGE TOWN – Syarikat semikonduktor, AMD Global Services (M) Sdn. Bhd. mengumumkan rancangan untuk mengembangkan perniagaan globalnya di negara ini dengan pembinaan ruang pejabat baharu yang dilengkapi kemudahan makmal di Bayan Lepas, di sini.

Bangunan itu yang dinamakan GBS by the Sea akan merangkumi kira-kira 209,000 kaki persegi ruang pejabat dan makmal kejuruteraan baharu untuk menyokong pertumbuhan AMD di peringkat global dan dijangka siap pada 2024.

Dibangunkan oleh agensi pembangunan milik kerajaan, Penang Development Corporation (PDC), GBS by the Sea terdiri bangunan pejabat sembilan tingkat dan tempat letak kereta enam tingkat dengan jumlah ruang yang boleh disewa lebih kurang 300,000 kaki persegi.

Naib Presiden AMD, Datuk Devinder Kumar berkata, kemudahan baharu di Bayan Lepas itu akan meningkatkan jumlah kakitangan dan keupayaan syarikat untuk menyokong pertumbuhan perkhidmatan perniagaan global dan kepakaran kejuruteraan.

“Kami berbesar hati bekerjasama dengan InvestPenang hari ini dan ia menandakan satu lagi peristiwa penting yang menyokong kehadiran kami di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di Komtar, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Datuk Aziz Bakar dan Penasihat Pelaburan Khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Lee Kah Choon.

Menurut Devinder, Pulau Pinang telah memainkan peranan penting dalam ekosistem semikonduktor di peringkat global dan AMD sendiri telah bertapak di sini sejak 1972.

“Sejak itu, AMD Malaysia telah berkembang kepada lebih 800 pekerja merangkumi dua kemudahan Perkhidmatan Kongsi Global di Pulau Pinang dan Cyberjaya yang menyokong pekerja, pelanggan dan pembekal AMD di seluruh dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, keyakinan berterusan daripada pelabur sedia ada seperti AMD memberi petanda baik untuk pembangunan negeri ini.

“Ia membolehkan kerajaan negeri sentiasa melangkah ke tahap yang lebih tinggi dan dengan InvestPenang dan PDC sebagai fasilitator, kerajaan negeri komited untuk memastikan kelancaran pelaksanaan pengembangan AMD di Pulau Pinang,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI