fbpx

‘Kapten’, isteri didakwa tipu penjualan 4,245 papan telur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Hafiz dan Intan Hafiezah didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka, hari ini. - Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI / KOSMO!

ALOR GAJAH – Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menipu penjualan telur membabitkan kerugian berjumlah RM52,990, hujung tahun lalu.

Tertuduh, Mohamed Hafiz Ibrahim dan Intan Hafiezah Roslan yang masing-masing berusia 35 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa telah menipu Muhammad Shafiq Bashir Ahmed, 32, bagi pembelian 4,245 papan telur yang tidak wujud dan mendorong mangsa memasukkan wang secara berperingkat berjumlah RM52,990 ke dalam akaun Bank CIMB milik Intan Hafiezah.

Kesalahan itu dilakukan di Lot 942, Simpang Ampat dalam daerah Alor Gajah antara 13 Disember 2022 hingga 3 Januari 2023.

Sabit kesalahan kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Dalam pada itu, Mohamed Hafiz turut dihadapkan dengan pertuduhan menyamar sebagai pegawai tentera berpangkat kapten dan didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia juga didakwa memakai pakaian menyerupai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan niat untuk menipu dan didakwa mengikut Seksyen 171 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM400 atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukannya kira-kira pukul 5 petang di Syarikat Teck Ping Chan Agriculture Sdn. Bhd. dalam daerah Alor Gajah pada 13 Disember 2022.

Dalam prosiding sama, tertuduh yang bekerja sebagai peniaga berdepan satu lagi pertuduhan iaitu menyamar sebagai peguam untuk menyelesaikan kes saman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sehingga mendorong Ahmad Farizal Abdul Hajat, 43, mendepositkan wang berjumlah RM3,000 ke dalam akaun CIMB Bank milik Intan Hafiezah.

Sementara itu, isterinya didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) kerana tidak dapat memberikan penjelasan munasabah mengenai wang RM3,000 yang dimasukkan ke dalam akaun Bank CIMB miliknya antara 16 Disember hingga 21 Disember 2022.

Setelah mendengar hujah kedua belah pihak, Nurul Bahiyah membenarkan Mohamed Hafiz diikat jamin berjumlah RM15,500, manakala isterinya sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berkenaan. Beliau kemudian menetapkan tarikh 5 Mei untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI