fbpx

Kerajaan digesa campur tangan isu kecurian REE di Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahadzir (tengah) menyerahkan memorandum berkaitan isu kecurian REE di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, Kedah di pekarangan Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Kerajaan digesa agar mengambil tindakan tegas dan memberikan perhatian yang khusus kepada isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, Kedah yang disifatkan sebagai satu perkara merugikan kepada pendapatan negara.

Pengerusi Yayasan Jariah Malaysia, Mahadzir Abd. Hamid berkata, pihaknya juga memohon supaya kerajaan negeri serta kerajaan pusat menubuhkan satu tribunal siasatan khas atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berkenaan.

“Kami gesa pihak berkuasa dan kerajaan pusat yang dipimpin oleh Datuk Seri Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri, mengambil tindakan dan perhatian yang khusus berkenaan masalah kecurian khazanah negara ini.

“Kami juga mohon agar ditubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat isu besar ini dan mengheret sesiapa sahaja sama ada penjenayah atau dalang terlibat ke muka pengadilan seterusnya dikenakan tindakan tanpa mengira latar belakang politik,” katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum berkaitan perkara tersebut kepada Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Chan Ming Kai di pekarangan Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Menurut Mahadzir, gesaan itu dibuat susulan terdapat banyak keraguan berbangkit berhubung kegiatan tersebut lebih-lebih lagi apabila sebarang kerja pengambilan, cari gali, atau pengeluaran hasil mineral negara sepatutnya terletak di bawah bidang kuasa kerajaan pusat dan bukannya kerajaan negeri.

“Untuk makluman, sudah dua kali tangkapan dilakukan oleh pihak berkuasa berhubung kes kecurian REE ini yang kita jangkakan mencecah ratusan juta ringgit berdasarkan tempoh kontrak yang telah diberikan kepada sebuah syarikat swasta pada Disember 2020 hingga tangkapan pertama pada September 2022.

“Namun Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor seolah-olah tiada inisiatif untuk melakukan siasatan lanjut malah seperti membela pencuri ini dan lebih mengejutkan beliau maklumkan kecurian sekian lama itu hanya bernilai kira-kira RM300,000 sahaja,” ujarnya.

Tambah beliau, lebih membimbangkan adalah pada pengamatan beliau tiada sebarang prosedur operasi standard (SOP), akta berkaitan REE, kebenaran merancang, laporan impak sosial serta beberapa prosedur lain yang dimuktamadkan namun kerajaan negeri Kedah telah sewenang-wenangnya mengeluarkan lesen eksplorasi tapak tersebut.

“Lebih parah lagi, laporan pemantauan oleh agensi-agensi terlibat serta laporan hasil eksplorasi yang dijalankan tidak pernah didedahkan kepada orang awam sejak lesen berkenaan dikeluarkan sehingga sekarang.

“Saya juga telah menerima banyak aduan daripada masyarakat perkampungan sekitar BUkit Enggang yang mendakwa melihat pergerakan masuk kenderaan mencurigakan pada waktu-waktu tertentu terutamanya waktu senja, lewat malam dan awal pagi selain mendakwa pernah terserempak dengan sekumpulan individu dipercayai warganegara China, Nepal dan Myanmar,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa tindakan tegas yang digesa itu adalah sebagai satu pengajaran dan sebagai tindakan yang dilihat lebih bertanggungjawab, berintegriti serta bermaruah selain amaran supaya aktiviti kecurian berkaitan bahan rebutan dunia bernilai tinggi itu tidak berulang.

“Kami juga menggesa dan menyeru supaya kerajaan negeri mematuhi segala aspek perundangan yang ada sebelum melulus atau melaksanakan sesuatu perjanjian usaha sama dengan mana-mana pihak.

“Apatah lagi di kawasan hutan simpan kekal yang di dalamnya terkandung pelbagai khazanah negara. Kerajaan pusat selaku pemegang taruh khazanah negara juga perlu memantau dan
meneliti isu ini secara serius, tuntas dan berkesan,” jelas beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI