fbpx

Banjir: Keadaan di Johor semakin pulih, 6,740 mangsa di PPS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN anggota polis melakukan operasi membantu membersihkan rumah mangsa yang terjejas akibat banjir di Batu Pahat, Johor.

JOHOR BAHRU – Keadaan banjir di negeri ini semakin pulih setelah jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 6,740 penduduk setakat pukul 8 pagi tadi.

Jumlah itu membabitkan sebanyak 1,923 keluarga yang ditempatkan di 43 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi, menurut maklumat terkini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu mencatatkan penurunan berbanding 7,972 penduduk daripada 2,299 keluarga pada 8 malam tadi dan hanya daerah Batu Pahat sahaja masih terjejas.

“Setakat pukul 8 pagi ini, seramai 1,232 penduduk daripada 376 keluarga telah meninggalkan PPS dan pulang ke rumah masing-masing dan jumlah itu dijangka akan terus menurun susulan usaha pihak menyedut air keluar dari kawasan banjir termenung serta faktor cuaca yang cerah sejak beberapa hari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Banjir yang melanda sejak 1 Mac lalu telah meragut lima nyawa membabitkan tiga kes di Segamat dan masing-masing satu kes di Kluang dan Mersing.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menunjukkan tiada sebarang amaran hujan berterusan atau amaran ribut petir dikeluarkan di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, tiga sungai di Batu Pahat yang berada di paras berbahaya iaitu Sungai Bekok, Sungai Sembrong dan Sungai Senggarang tidak menunjukkan perubahan, manakala lima jalan di Batu Pahat membabitkan jalan di Jambatan Sri Dayung, Jambatan Parit Jambi, Klinik Kesihatan Sri Medan, Jalan Parit Warijo dan Jalan Sri Bengkal hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja.

“Sementara itu, jalan di Asrama Pekerja FTPSB Kahang Barat (cerun runtuh) dan Jambatan GSA Chamek (jambatan rosak) di Kluang dan Jalan Ulu Tebrau-Sungai Tiram di Kulai (cerun runtuh) masih ditutup untuk ditutup untuk semua jenis kenderaan” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI