fbpx

K2

1,500 rama-rama dilepaskan di The LINC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG anak kecil teruja memerhatikan seekor rama-rama cantik yang hinggap di tangannya.

HAIWAN dan tumbuhan memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem dunia.

Kawasan hutan misalnya, menjadi habitat pelbagai hidupan liar, manakala haiwan seperti serangga pula memainkan peranan dalam proses pendebungaan bagi meneruskan rantaian agar manusia dapat terus menjadikan tumbuh-tumbuhan sebagai makanan.

Justeru, adalah penting bagi manusia untuk memelihara flora dan fauna bagi mengelak daripada berlakunya kepupusan haiwan termasuk serangga yang boleh mengancam kestabilan ekosistem.

Bersempena dengan Hari Rama-Rama Sedunia yang disambut pada 14 Mac lalu, hab komuniti yang berinspirasikan gaya hidup urban dan alam semula jadi, The LINC di Jalan Ampang, Kuala Lumpur mengambil inisiatif melepaskan sebanyak 1,500 ekor rama-rama ke dalam kawasan itu.

The LINC sesuai dijadikan lokasi aktiviti sebegitu memandangkan ia terletak di kawasan pokok-pokok yang menghijau.

Objektif penganjuran acara tersebut adalah bagi meraikan serangga cantik itu yang memainkan peranan penting dalam proses pendebungaan tumbuh-tumbuhan.

Usaha itu juga bagi meningkatkan biodiversiti dan menambah baik ekosistem di tengah-tengah bandar.

Program pelepasan 1,500 ekor rama-rama di The LINC diadakan bersempena Hari Rama-Rama Sedunia yang diraikan pada 14 Mac lalu.

Acara tersebut diadakan menerusi kerjasama The LINC dan The Chrysalis Project yang merupakan program pengwujudan populasi semula dan pemuliharaan rama-rama di Kuala Lumpur.

Menurut wakil The Chrysalis Project, program itu memberi peluang kepada orang awam untuk meneroka pameran rama-rama hidup di The LINC.

“Nama ‘chrysalis’ itu merujuk kepada metafora perubahan dan metamorfosis yang sangat signifikan dengan rama-rama.

“Projek pemuliharaan itu telah dilancarkan pada November 2020 dan terbahagi kepada tiga bahagian melibatkan populasi semula rama-rama dan ia merupakan yang pertama seumpamanya di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Selain melepaskan 1,500 ekor rama-rama ke kawasan pokok-pokok di The LINC, acara turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik untuk kanak-kanak seperti bengkel ahli entomologi muda, bengkel menanam tumbuhan hos rama-rama, petting zoo mini untuk kanak-kanak dan juga aktiviti memelihara ulat beluncas.

RAMA-RAMA adalah sejenis serangga yang sangat penting dalam proses pendebungaan tumbuhan.

Petting zoo turut membolehkan kanak-kanak untuk berinteraksi bersama haiwan lain seperti meerkat dan juga anak ayam.

Kanak-kanak juga berpeluang melihat pelbagai jenis rama-rama yang dipamerkan di situ.

Aktiviti menyeronokkan itu nyata memberikan peluang kepada orang ramai, khususnya kanak-kanak untuk belajar lebih banyak tentang rama-rama dan habitatnya.

Menyentuh lanjut mengenai The Chrysalis Project, ia merupakan projek mempopulasikan semula rama-rama di bandar sebagai salah satu usaha pemuliharaan alam semula jadi.

Ia turut dilihat selaras dengan DNA The LINC yang merupakan sebuah premis berinspirasikan alam semula jadi.

Di samping mengembalikan semula habitat rama-rama, projek The Chrysalis Project juga bertujuan mendekati komuniti tempatan terutamanya generasi muda, supaya menjadi sebahagian daripada perjalanan pemuliharaan rama-rama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI