SEBUAH bekas kecil berisi kepompong rama-rama yang telah mengalami proses pembiakan di makmal Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka (TRRM) dibungkus dengan rapi bersama sebuah balang kaca sebelum dimasukkan ke dalam sebuah kotak.
Kotak demi kotak diusahakan. Usai kesemua kotak itu diperiksa secara teliti, ia kemudian diproses ke peringkat seterusnya sebelum sedia untuk dipos kepada para pembeli.
Setiap hari, itulah antara tugasan yang dilakukan sekumpulan pekerja di TRRM bagi memenuhi permintaan masyarakat di negara ini yang berminat melibatkan diri dengan Program Adopsi Kepompong Rama-Rama.
Selain merupakan salah satu inisiatif norma baharu, program ini juga bertujuan merangsang pengetahuan saintifik orang ramai terhadap kitaran hidup rama-rama apabila mereka boleh menyaksikan sendiri serangga tersebut daripada kepompong sehinggalah menjadi seekor rama-rama yang cantik.
Secara umumnya, kitaran hidup atau metamorfosis rama-rama bermula daripada telur sebelum menjadi ulat beluncas, seterusnya melalui transisi menjadi kepompong (pupa) dan akhirnya menjelmalah rama-rama.
Menurut pengurus TRRM, Qurratu Ain Rohaminordin, pandemik yang melanda negara sejak awal tahun lalu menyebabkan santuari tersebut turut terkesan. Selain sumber pendapatan yang terjejas, kakitangan yang berkurangan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan operasi di dalam makmal pembiakan rama-rama lumpuh.

Kekurangan kakitangan mengakibatkan telur rama-rama dibiarkan tidak dipungut dan pokok-pokok perumah di situ juga tidak dapat diuruskan dengan sempurna. Daun-daunnya pula mengering dengan cepat mengakibatkan ulat beluncas kekurangan makanan untuk terus hidup. Lebih menyedihkan apabila santuari ini terpaksa melupuskan lebih 3,000 ulat beluncas.
“Pada awal penguatkuasaan PKP yang lalu, kami semua bagaikan hilang hala tuju. Pihak pengurusan giat mencari cara untuk menyelesaikan masalah ini sebelum datangnya idea Program Adopsi Kepompong Rama-Rama kepada orang ramai yang dicetuskan pengarah urusan TRRM, Gerard Wong.
“Menerusi program ini, kami menyediakan kepompong rama-rama untuk diadopsi oleh orang ramai yang dikirimkan dari TRRM menerusi pos. Kesemua kepompong ini dihasilkan dari makmal kami yang terdahulu memproses telur sehingga menjadi ulat beluncas secara pembiakan makmal.
“Kebanyakan daripada kepompong rama-rama yang tersedia untuk program ini adalah spesies yang biasa dijumpai di kawasan persekitaran kita,” katanya kepada K2.
Menariknya menerusi program itu juga, ia memberi peluang kepada komuniti luar merasai sendiri pengalaman menjaga dan melihat proses rama-rama keluar dari kepompong. Bukan itu sahaja program itu juga bertujuan memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan rama-rama terhadap ekosistem kita.
“Program Adopsi Kepompong Rama-rama ini merupakan satu inovasi bagi produk kami yang telah sedia ada di sini. Sebenarnya kami menjalankan kajian lebih lima tahun sebelum ia mula diperkenalkan pada tahun 2018.
“Set kepompong rama-rama ini pada awalnya diciptakan khas buat para pelajar sekolah yang menyertai lawatan sambil belajar di sini kerana mahu memberi peluang kepada mereka untuk merasai sendiri pengalaman menyaksikan proses rama-rama keluar dari kepompong,” terangnya.

Menurut Qurratu Ain lagi, pada awal pelaksanaan projek tersebut mereka hanya menggantungkan kepompong rama-rama pada pokok bunga hiasan dan dimasukkan ke dalam plastik jernih.
Bagaimanapun, mereka menerima maklum balas daripada guru dan pelajar apabila ada antara kepompong tersebut diserang semut serta pemangsa lain kerana tidak dilindungi sepenuhnya.
Keadaan tersebut menyebabkan mereka mendapat ilham menggunakan balang kaca bagi menggantikan pokok hiasan tersebut.
“Sebagai sebuah taman zoologi, kami berasa bertanggungjawab untuk menyahut kempen tidak menggunakan plastik dan bekas kaca adalah satu pilihan yang tepat untuk program ini.
“Tambahan pula penggunaan bekas kaca memberi pemandangan lebih jelas untuk kita menyaksikan proses rama-rama keluar dari kepompong berbanding plastik.
“Dari situ juga individu akan sedar proses metamorfosis sehingga menjadi seekor rama-rama yang indah tidak mudah memandangkan ada antara serangga tersebut mengalami kecacatan dan proses ini sebenarnya sangat mencabar untuk seekor rama-rama,” tambahnya.
Ujarnya lagi, tali yang digunakan untuk menggantung kepompong di dalam balang kaca itu memang disimpul tujuh oleh pekerja santuari tersebut bagi memudahkan rama-rama turun ke bawah apabila keluar dari kepompong sementara menunggu sayap kering.
Hal ini bagi mengurangkan risiko berlakunya kecacatan kepada rama-rama semasa proses keluar dari kepompong.
“Untuk program ini, terdapat beberapa spesies rama-rama yang akan dihantar secara rawak kepada para penerima antaranya termasuklah rama-rama Great Eggfly, Plain Tiger, Clipper, Dark Blue Tiger, Common Rose, Painted Jezebel dan banyak lagi.
“Kesemua spesies rama-rama tersebut merupakan rama-rama Malaysia dan dibiakkan di TRRM. Memandangkan kesemua spesies tersebut adalah spesies tempatan, tidak menjadi masalah untuk serangga ini dilepaskan ke kawasan persekitaran rumah masing-masing sebaik sahaja keluar dari kepompong,” ujarnya.
Sejak pandemik melanda negara awal tahun lalu, santuari tersebut berjaya menyediakan lebih 20,000 unit set kepompong rama-rama untuk diadopsi oleh masyarakat.
Menurutnya lagi, masyarakat perlu sedar kepentingan mengekalkan populasi rama-rama yang terdapat di negara ini memandangkan berdasarkan satu kajian, lebih 40 peratus daripada populasi rama-rama di Asia Tenggara akan pupus menjelang tahun 2100 termasuklah rama-rama Malaysia.
“Keadaan tersebut amat membimbangkan. Disebabkan itu, kami menyeru seluruh masyarakat untuk bersama-sama membuka mata tentang kepentingan rama-rama terhadap ekosistem kita.
“Justeru kami berharap dengan adanya program ini dapat mendidik masyarakat kita berkenaan kitaran hidup rama-rama dan juga memupuk dalam diri mereka rasa cinta kepada alam semula jadi dengan melepaskan rama-rama ke kawasan sekitar.
“Bagi kanak-kanak pula, program ini bertujuan untuk merangsang pengetahuan saintifik dalam diri mereka untuk sentiasa berfikir dan mengkaji tentang alam semula jadi di sekeliling mereka,” tuturnya.
Menurutnya, tempoh kepompong bertukar kepada rama-rama mengambil masa antara tiga hingga 10 hari bergantung spesies, namun tempoh orang ramai dapat melihat proses tersebut bergantung kepada bila kiriman itu tiba ke rumah mereka.

Apabila kiriman tiba, orang ramai akan menerima kotak mengandungi sebuah bekas kecil berisi kepompong dan sebuah balang kaca.
Mereka perlu mengeluarkan kepompong tersebut dan menggantungkannya pada tali di dalam balang dengan mengikut arahan-arahan yang tersedia.
Seorang peserta program, Zaidi Ahmad, 33, dari Selangor berkata, inisiatif yang dilakukan TRRM itu secara tidak langsung menceriakan hari-hari dua anaknya selain mendapat tambahan ilmu mengenai kitaran hidup rama-rama.
“Jika dahulu mereka bebas beriadah melakukan pelbagai aktiviti di luar, tetapi sejak negara dilanda pandemik dengan jumlah jangkitan di Selangor begitu tinggi, mereka tidak lagi dibawa keluar kerana bimbang keselamatan diri.
“Mahu melakukan aktiviti pula hampir kesemuanya pernah dibuat memandangkan kita terkurung sejak awal tahun lalu lagi.
“Dengan hanya membayar RM20 untuk Program Adopsi Kepompong Rama-rama ini, ia seolah-olah membawa mereka mengunjungi taman rama-rama apabila melihat sendiri serangga ini secara dekat,” tuturnya dengan penuh rasa teruja.














