QASRINA KARIM

Qasrina Karim langgar ‘normalisasi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERAWAL sebagai model tudung sebelum disunting menjadi pelakon, rezeki si cantik manis Qasrina Karim mencurah-curah.

Mula memahat nama sebagai anak seni sejak lebih dua tahun lalu (2020), Qasrina kini tidak lagi menoleh ke belakang untuk memacu kerjaya sehingga ke hari ini.

Pada awal kemunculannya dahulu, Qasrina agak tertutup, sehingga dilabel sebagai selebriti yang loket kisah peribadi.

SELAIN wajahnya disamakan seperti selebriti wanita lain, bentuk dahi Qasrina Karim yang agak jendul juga kerap menjadi sasaran dan bahan kecaman netizen. – AMIR KHALID

Lebih terbuka

Kata aktres berusia 26 tahun itu, bersikap lebih terbuka merupakan matlamatnya selepas hampir tiga tahun bergelar anak seni.

“Sebenarnya, memang ini semua sebahagian daripada ‘bucketlist’ sebagai selebriti, lebih bersifat terbuka dalam banyak hal berkaitan diri dan karier.

“Mungkin saya sudah lebih bersedia dengan semua kemungkinan dan selesa dengan banyak perkara ketika ini,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Tegasnya, dia bukan ingin menjadi seorang tertutup atau ‘introvert’, cuma belum bersedia untuk berkongsi hal yang tidak sepatutnya kepada umum, apatah lagi sengaja mengumpan diri menjadi buah mulut umum hanya disebabkan isu remeh.

“Untuk berasa selesa memang perlu mengambil masa dan ketika ini memang saya cuba beradaptasi dengan persekitaran dan individu sekeliling.

“Alhamdulillah semakin hari semakin boleh membiasakan diri.

“Karier juga berlangsung dengan baik,” tutur anak kelahiran Subang Jaya itu.

Bercerita perihal kerjaya, pemilik nama penuh Qasrina Abdul Karim itu bersyukur dengan momentum perjalanannya sebagai seorang pelakon.

Masakan tidak, satu demi satu tawaran watak mencabar berjaya dilunaskan dengan cemerlang.

Terbaharu watak komedi dalam naskhah Imam Instant Ustazah Scammer, Siti Siakap sedang menuai perhatian ramai.

“Siti Siakap boleh diibaratkan sebagai Joyah Kampung atau ketua jabatan netizen yang memang kepoh tentang hal-hal di kampungnya.

TIDAK pernah berasa bagus, Qasrina turut merancang untuk menyertai kelas lakonan bagi mendalami dan mewarnakan lagi teknik lakonannya pada masa akan datang.

Siti Siakap

“Saya suka watak ini kerana mencabar kemampuan diri untuk melakonkan karakter komedi. Nampak kecoh tetapi hakikatnya bukan mudah nak memastikan lawak itu sampai kepada penonton,” jelasnya.

Teruja berbual lanjut, Qasrina juga menyifatkan watak kali ini lari daripada karakter kebiasaan yang pernah digalas sebelum ini bahkan menganggap suka untuk membuat ramai terhibur dengan lawak yang disampaikan.

“Watak kali ini berbeza sedikit, cabarannya ialah membawa watak yang agak ‘Joyah’ sebab realitinya saya bukan begitu pun.

“Hendak tahan gelak pun cabaran besar untuk saya sebab berlakon di samping Mierul Aiman.

“Dia sangat kelakar, memang susah nak tahan gelak,” katanya yang pernah membintangi filem Kongsi Raya.

QASRINA seronok melakonkan karakter perempuan ‘kepoh’ bernama Siti Siakap dalam naskhah Imam Instant Ustazah Scammer.

Selain seronok berlakon bersama jejaka Projek: High Council itu, Qasrina tentunya cukup berbesar hati apabila berpeluang muncul dalam satu skrin bersama pelakon Mira Filzah.

“Agak gemuruh juga nak berlakon dengan Mira pada awalnya tetapi apabila tiba di set penggambaran, dia sangat baik dan tidak lokek dengan ilmu.

“Keserasian antara kami pun wujud dengan sendiri dan tidak perlu dibuat-buat pun,” ungkapnya.

Ditanya sama ada rimas apabila wajahnya kerap disamakan dengan pelakon filem Sangkar itu, Qasrina akur, namun lama-kelamaan sudah mula membiasakan diri.

“Lama-kelamaan saya okey dan mengapa perlu rimas apabila disamakan dengan artis berkeperibadian dan imej yang baik.

“Itu satu penghormatan dan pujian. Saya okey sahaja,” jelasnya yang turut mengidolakan Lisa Surihani.

SELEPAS membina nama sebagai model pakaian Muslimah, Qasrina semakin menyinar apabila muncul dalam filem Kongsi Raya dan Legenda Puteri Qaseh.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN