fbpx

Jalan dah macam kawah bulan pun masih tak baiki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MI HAMIDI menunjukkan sebahagian laluan yang rosak teruk di Kampung Pagi di Jerantut semalam.

JERANTUT – Kebimbangan te­rus disuarakan kira-kira 300 penduduk Kampung Pagi dekat Ulu Tembeling di sini, ekoran jalan utama di kampung mereka semakin mendap sehingga mengundang risiko kemalangan dan kehilangan nyawa.

Seorang penduduk, Mi Hamidi Nipah, 54, berkata, keadaan permukaan jalan tar yang pecah dan semakin mendap yang berlaku selepas musim tengkujuh tahun lalu itu turut memberi kesukaran kepada orang ramai untuk berulang-alik ke bandar.

“Kerosakan berlaku berhampiran jambatan kecil Sungai Pengau menyebabkan banyak kawasan berlekuk dan pecah yang mengundang bahaya kepada penunggang motosikal dan kereta.

“Apa yang dibimbangi ialah jalan itu merupakan laluan utama penduduk, lebih-lebih lagi menjelang sesi pembukaan persekolahan minggu depan dan bulan Ramadan yang semakin hampir,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Mi Hamid, keadaan jalan yang rosak teruk itu didakwa berlaku akibat hujan lebat sejak awal tahun ini menyebabkan wujud takungan air.

Seorang lagi penduduk, Mus­tapa Abdullah, 25, berkata, ­ke­adaan jalan yang rosak itu me­nimbulkan kesukaran kepada pengguna terutama pada waktu puncak sehingga kerap kali berlakunya kemalangan kecil.

“Tolong baiki segera laluan ini yang menjadi penghubung bagi penduduk untuk menghantar anak ke sekolah rendah berdekatan dan ke Kuala Tahan serta ke bandar Jerantut,” katanya.

Bagi Ahmad Ismail, 58, pula, selain takungan air ketika hujan lebat di laluan tersebut, punca berlakunya jalan rosak adalah disebabkan laluan itu turut digunakan oleh kenderaan berat.

“Boleh dikatakan setiap hari, jalan di kampung kami terma­suk jalan utama dari Mat Daling-Kuala Sat ke Kampung Tuit Kuala Tahan dilalui lori untuk memunggah kayu balak ke kilang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI