ALOR SETAR – Negara memerlukan lebih ramai pakar psikiatri untuk membantu proses pemulihan penagih dadah sintetik yang cenderung mengalami masalah mental selepas terjebak dalam tempoh lama.
Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Terlarang Malaysia (Masac), Raja Azizan Suhaimi Raja Abd. Latiff berkata, penagih yang mengalami kerosakan otak perlu menjalani rawatan dan pemulihan, bukan hukuman.
“Cara rawatan penagih dadah jenis sintetik ini adalah di bawah kesihatan mental dan bukan hukuman.
“Mereka ini perlukan rawatan daripada pakar psikiatri dan kaunselor bertauliah, namun jumlah pakar tersebut tidak mencukupi,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Kata beliau, kebanyakan penagih yang mengalami masalah kesihatan mental itu biasanya akan kembali menagih kerana mereka hanya dihukum dan tidak dirawat.
“Kalau masuk penjara, mereka dikurung dan tidak menerima rawatan daripada aspek masalah kesihatan mentalnya. Bila bebas, mereka akan hisap (dadah) balik,” ujarnya.
Menurutnya, selain rawatan di Kementerian Kesihatan, penagih juga boleh menjalani pemulihan di pusat pemulihan persendirian yang berdaftar dengan Agensi Antidadah Kebangsaan.
“Ketika ini, lebih 80 peratus yang mendapatkan rawatan di pusat pemulihan adalah dalam kalangan mereka yang mengalami kesan psiko atau kerosakan otak. Mereka turut dibawa mendapatkan rawatan lanjut di hospital,” jelasnya.
Masac adalah sebuah gabungan 46 pertubuhan bukan kerajaan berkaitan dadah, pusat pemulihan swasta serta penyedia perkhidmatan berkaitan penyalahgunaan bahan dari seluruh negara.
Orang ramai boleh melayari laman web www.masac.my bagi membantu mereka melakukan kerja amal bagi meringankan beban ahli keluarga penagih termasuk pada Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri ini. -KOSMO! ONLINE














