fbpx

Mahkamah: Hisyam ketuai rayuan basikal lajak, 31 Mac mula pendengaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sam Ke Ting.

PUTRAJAYA – Peguam terkemuka, Datuk Hisyam Teh Poh Teik akan mengetuai rayuan melibatkan seorang kerani, Sam Ke Ting berhubung sabitan dan hukuman dalam kes basikal lajak di Johor.

Peguam Harvinder Singh Sidhu yang mewakili Ke Ting ketika dihubungi berkata, beliau akan hadir bersama Hisyam yang juga peguam kanan dalam pendengaran prosiding rayuan itu di Mahkamah Rayuan di sini pada 31 Mac ini.

“Pengurusan kes hari ini disertai Hisyam bersama peguam Muhammad Faizal Mokhtar dan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Hisham Jaafar selaku responden.

“Pihak-pihak mengesahkan semua hujahan bertulis sudah difailkan untuk rayuan berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menetapkan 31 Mac ini bagi mendengar rayuan Ke Ting terhadap sabitan kesalahan, hukuman penjara dan denda kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja pada 2017.

Pada 28 Oktober 2018, Mahkamah Majistret Johor Bahru membebaskan perayu tanpa memerintahkan membela diri atas tuduhan tersebut sehingga menyebabkan kematian lapan remaja di Jalan Lingkaran Dalam pukul 3.20 pagi pada 18 Februari 2017.

Lapan remaja yang maut dalam tragedi itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14, Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14, Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16, dan Fauzan Halmijan, 13.

Turut terkorban Mohamad Azhar Amir, 16, Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14, Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Pada 2019, Hakim Mahkamah Tinggi Dr. Shahnaz Sulaiman membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengembalikan semula kes itu ke Mahkamah Majistret serta mengarahkan Ke Ting membela diri bagi pertuduhan memandu secara melulu.

Majistret Siti Hajar Ali yang mendengar kes itu pada 2019 sekali lagi melepas dan membebaskan Ke Ting pada akhir kes pembelaan menyebabkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan kedua di Mahkamah Tinggi.

Pada 13 April tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abu Bakar Katar membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mensabitkan kesalahan memandu secara melulu dan menjatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000.

Ke Ting bagaimanapun mendapat kebenaran daripada Mahkamah Rayuan pada 18 April tahun lalu untuk merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara.

Mahkamah Rayuan turut membenarkan permohonan Ke Ting untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan membebaskannya dengan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu pendengaran rayuannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI