fbpx

[VIDEO] Lima beranak nyaris maut dihimpit dua lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta jenis Perodua Aruz yang dirempuh sebuah lori di kilometer 439.6, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, Gombak, kelmarin.

GOMBAK – Lima beranak termasuk dua kanak-kanak berdepan detik cemas apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) yang mereka naiki dirempuh sebuah lori di kilometer 439.6 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, di sini, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya mendapati kemalangan tersebut berlaku sekitar pukul 1 tengah hari membabitkan kenderaan SUV jenis Perodua Aruz serta sebuah lori.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan ini dipercayai berlaku semasa pemandu Perodua Aruz yang juga wanita tempatan berusia 29 tahun sedang melalui tempat kejadian.

“Secara tiba-tiba telah dirempuh dari arah belakang oleh sebuah lori jenis Scania yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca lori merempuh belakang kenderaan itu” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Difahamkan, kesemua mangsa berusia tiga hingga 58 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan.

Sementara itu, kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia tiga dan lima tahun itu hanya mengalami luka di tangan serta benjol di kepala.

Menurut Ariffin, kes disiasat dibawah Rule 10 LN 166/59 dan orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Rohaizam Yusop di talian 012-5260952 atau balai polis berdekatan.

Dalam pada itu, tular sebuah rakaman papan pemuka (dashcam) berdurasi satu minit milik kenderaan mangsa sewaktu rempuhan yang mengerikan itu berlaku.

Kedengaran juga suara tangisan kanak-kanak dan juga suara wanita dalam keadaan panik selepas terselamat tragedi rempuhan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI