fbpx

22023 fakir miskin layak terima zakat di Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shaikh Harun (kiri) menyampaikan bantuan zakat kepada salah seorang penerima asnaf fakir miskin di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengagihkan bantuan zakat kepada asnaf fakir miskin sempena ketibaan bulan Ramadan yang bakal tiba pada Rabu depan.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, pemberian zakat tersebut bertujuan bagi meringankan beban golongan berkenaan untuk menyambut puasa dan hari raya Aidilfitri.

Beliau berkata, ia membolehkan penerima dalam kalangan asnaf fakir miskin berkenaan boleh memberi lebih tumpuan kepada beribadah pada bulan Ramadan ini.

“Seramai 22,023 golongan fakir miskin di seluruh negeri layak menerima agihan zakat berkenaan dengan peruntukan keseluruhan RM11.74 juta.

“Setiap keluarga memperolehi antara RM300 dan RM700 mengikut bilangan isi rumah masing-masing,” katanya selepas menyampaikan bantuan zakat itu di sini hari ini.

Shaikh Harun berkata, pengagihan bantuan terbabit telah bermula sejak Isnin lalu di daerah Besut dan dijangka akan selesai sepenuhnya pada Selasa ini iaitu dua hari sebelum ketibaan 1 Ramadan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bilangan fakir miskin di Terengganu telah meningkat 443 orang berbanding 21,580 orang pada tahun lalu.

“Kenaikan ini disebabkan kebanyakan mereka bekerja sendiri kehilangan pendapatan akibat penularan pandemik Covid-19 pada tiga tahun lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI