fbpx

Sidang DUN Melaka: Bina semula sekolah daif bernilai RM10.8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rais.

MELAKA – Kerajaan negeri akan membina semula dua sekolah daif yang telah dikenal pasti membabitkan peruntukan berjumlah RM10.8 juta menerusi Belanjawan 2023 yang dibentang bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, sekolah terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Sebatu di Sungai Rambai dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) On Lok di Selandar.

Kata beliau, pembinaan SK Sebatu melibatkan peruntukan sebanyak RM9 juta sementara RM1.8 juta lagi untuk pembinaan SJKC On Lok.

“Kerja-kerja meroboh dan membina semula bangunan di SK Sebatu membabitkan empat bilik darjah, sebuah pejabat pentadbiran, bilik muzik dan bilik guru serta mewujudkan persekitaran sekolah yang lebih mesra golongan orang kurang upaya (OKU).

“Pembinaan semula SJKC On Lok melibatkan sebuah bengkel reka bentuk dan teknologi, bilik pemulihan berserta perolehan peralatan serta kelengkapan,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Zulkiflee Mohd. Zin (BN-Taboh Naning) mengenai sekolah daif di Melaka.

Sementara itu, berhubung cadangan membina sekolah baharu di DUN Ayer Limau dan Masjid Tanah, Rais berkata, tiada perancangan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

Jelasnya, data semasa menunjukkan purata bilangan pelajar bagi setiap kelas di sekolah menengah di kawasan itu antara 17 hingga 23 orang.

“Jumlah ini menunjukkan tiada keperluan bagi Jabatan Pendidikan Negeri untuk memohon projek pembinaan bangunan tambahan mahupun projek pembinaan sekolah baharu.

“Bagaimanapun, satu projek pembinaan Sekolah Menengah Agama (Ulul Albab) di Sungai Baru Tengah, Ayer Limau telah diluluskan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI