fbpx

Pungguk jelapang alternatif bantu pekebun sawit kawal tikus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Spesies burung pungguk jelapang digunakan secara meluas sebagai agen berkesan mengawal serangan tikus perosak di ladang kelapa sawit.

GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Barn Owl and Rodent Research Group (BORG) melancarkan Inisiatif Burung Pungguk Jelapang untuk Pekebun Kecil Kelapa Sawit (BOSI) bagi membantu mengawal serangan tikus di ladang.

Penyelaras BORG yang juga pensyarah daripada Pusat Pengajian Sains Kajihayat (PPSK) USM, Profesor Madya, Dr. Hasber Salim berkata, BOSI adalah projek khas yang dijalankan dengan kerjasama Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF).

Menurutnya, program tersebut telah menyaksikan penyerahan dan pemasangan 20 kotak sarang burung pungguk jelapang yang dikenali dengan nama saintifiknya (tyto javanica javanica) kepada para pekebun kecil di Mukim Bagan Samak, Bandar Baharu, Kedah baru-baru ini.

“Program BOSI berupaya membantu pekebun kecil mengawal dan mengurangkan populasi tikus perosak dengan berkesan.

“Kotak yang dibekalkan telah direka bentuk dengan matlamat untuk menarik burung pungguk jelapang sebagai tapak sarang yang selamat dan sesuai untuk pembiakan malah pekebun juga ditunjukkan dengan demonstrasi pemasangan yang betul,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu jelasnya, kotak itu turut merangkumi penggunaan teknik pemetaan sistem kedudukan global (GPS) bagi memastikan kotak sarang burung diagihkan secara sama rata pada ketumpatan satu kotak bagi setiap lima hektar di kawasan tersebut.

“Sepanjang tempoh projek itu dijalankan, pasukan penyelidik akan memantau rapi kadar penghunian burung pungguk jelapang dalam kotak sarang yang dipasang selain melihat prestasi pembiakan serta memantau kepadatan populasi tikus di kawasan ini,” katanya.

Beritahu beliau, burung pungguk jelapang terbukti secara meluas sebagai agen berkesan dalam kawalan biologi terhadap tikus perosak di ladang kelapa sawit, khasnya di negara ini. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI