fbpx
Civic e:HEV RS seronok dipandu berbanding model turbo kerana kuasa yang dihasilkan lebih tinggi.

Hibrid pertama Honda enjin 2.0 liter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA November tahun lalu, Honda Malaysia telah melancarkan sebuah varian tambahan untuk model Civic generasi ke-11.

Varian e:HEV RS itu hadir dengan enjin 2.0 liter hibrid baharu dan yang pertama untuk model itu di Malaysia.

Sebelum ini, Honda Malaysia hanya menawarkan enjin 1.5 liter bagi model-model hibrid seperti City, City Hatchback dan HR-V.

Enjin e:HEV ini menggabungkan dua motor elektrik yang mampu menghasilkan prestasi mengujakan untuk sebuah kenderaan hibrid.

Model ini menggunakan transmisi jenis Electric Continuously Variable Transmission (e-CVT) dan Intelligent Power Unit (IPU).

Kuasa maksimum yang dihasilkan enjin 2.0 liter ialah 143PS, manakala kuasa daripada motor elektrik sebanyak 184PS.

Tork tertinggi untuk enjin itu ialah 189Nm dan motor elektrik pula menghasilkan 315Nm! Tinggikan?

Jika kita boleh gabungkan angka itu rasanya agak sukar untuk mencari kenderaan yang sama segmennya sebagai perbandingan.

Dari segi kosmetik, model ini mirip dengan varian RS berenjin turbo tetapi masih ada perbezaan seperti logo Honda biru dan rim 18 inci dua tona.

Pada sebelah belakang pula, tertera logo e:HEV dan ekzos tunggal.

Masuk ke ruang dalamannya, terdapat beberapa perubahan kecil tetapi mampu membuatkan pemandu atau penumpang kagum dengan model ini.

Antaranya, model ini menggunakan panel meter TFT 10.2 inci, pengecas tanpa wayar, kad kunci dan penghawa dingin dual zon.

Ruang dalaman kenderaan ini yang kelihatan kemas memberikan keseronokan dalam pemanduan.

Model ini turut hadir dengan ciri-ciri Honda SENSING seperti Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lead Car Departure Notification (LCDN), Road Departure Mitigation System (RDM), Adaptive Cruise Control (ACC), Low Speed Follow (LSF), Lane Keep Assist System (LKAS), Lane Departure Warning (LDW), Forward Collision Warning (FCW) dan Auto High Beam (AHB).

Selain itu, ciri-ciri lain seperti Honda LaneWatch, Walk Away Auto Lock, Remote Engine Start serta Rear Seat Belt Reminder and Driver Attention Monitor juga hadir bersama model ini.

Baru-baru ini, penulis bersama media permotoran di Malaysia telah dipelawa untuk mengikuti sesi pandu uji model ini. Lokasi yang dituju ialah Desaru, Johor.

Sebaik memulakan perjalanan, kami telah diberikan tugasan untuk menguji kecekapan bahan api kenderaan itu sehingga kami singgah di Melaka dengan masa yang diberikan tidak boleh melebihi dua jam 30 minit.

Saya dan dua rakan lain dalam satu kereta yang sama sebaik memasuki Lebuh Raya Utara Selatan, Sungai Besi menggunakan strategi memandu sekitar 70 kilometer sejam (km/j).

Kami juga masih menggunakan penghawa dingin untuk keselesaan bersama. Hasil yang kami perolehi sebaik sampai ialah 28 kilometer (km) untuk 1 liter petrol.

Ada rakan kami dari kereta yang berbeza berjaya mendapat lebih 30 kilometer untuk 1 liter tetapi mereka menggunakan strategi tanpa penghawa dingin.

Dari Melaka menuju ke Desaru kami diberi peluang untuk menguji prestasi kereta ini.

Bagi saya, model ini lebih seronok dipandu berbanding model turbo kerana kuasa yang dihasilkan lebih tinggi.

Paparan meter penuh itu juga banyak membantu. Apa yang saya kagum ia boleh mengesan dan memaparkan kenderaan di tepi dan hadapan sama ada motosikal, kereta, atau lori. Macam Tesla dah!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN