fbpx

Mentega Terbang: Pengarah, pelakon diambil keterangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mentega Terbang - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil keterangan pengarah dan seorang pelakon filem kontroversi ‘mentega terbang’ di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, pagi tadi.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd. Saadudin berkata, pihaknya telah memangggil dua individu tersebut pada pukul 10 pagi tadi.

“Kami telah mengambil rakaman percakapan pengarah dan seorang pelakon filem tersebut di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Rakaman percakapan ke atas penerbit filem pula akan dirakamkan pada Selasa hadapan (14 Mac),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noorsiah, kes masih dalam siasatan pihak USJT dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kelak.

Terdahulu, Polis PDRM telah menerima sebanyak lapan laporan polis di mana satu kertas siasatan telah dibuka.

Kes tersebut disiasat oleh USJT, D5 Bukit Aman di bawah Seksyen 298A dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati kandungan filem ‘Mentega Terbang’ terdapat pertentangan yang jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dipetik berkata, Jakim akan mengemukakan ulasan secara terperinci kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), agar tindakan dapat diambil berpandukan undang-undang sedia ada.

Dalam pada itu, organisasi bukan kerajaan (NGO) turut tampil membuat laporan polis terhadap penerbitan filem kontroversi ‘Mentega Terbang’ kerana didakwa mengandungi adegan yang mengganggu akidah umat Islam di negara ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI