fbpx
PERPINDAHAN Falcao ke skuad Harimau Selatan bakal ditentukan pemilik kelab JDT, Tunku Ismail.

Tunku Ismail akan putuskan perpindahan Falcao

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mengesahkan kemungkinan untuk penye­rang antarabangsa Colombia, Radamel Falcao untuk berhijrah pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) bergantung pada keputusan pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Akhbar Kosmo! semalam melaporkan media dari Sepanyol mendedahkan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor berusaha untuk mendapatkan khidmat Falcao selepas kontraknya bersama kelab La Liga, Rayo Vallecano berakhir pada Jun depan.

Kata Solari, perpindahan me­libatkan bekas penyerang Manchester United itu tidak mustahil untuk menjadi kenyataan tetapi segalanya tidak boleh didedahkan lebih lanjut buat masa ini.

“Semua tahu ada kemungkinan tentang perpindahan (Falcao) ini berlaku dan sudah pasti situasi ini sedang diusahakan oleh bos kami (Tunku Ismail).

“Secara jujur, saya tidak boleh berkata lebih lanjut tetapi tiada apa yang mustahil dengan kelab besar seperti JDT. Cuma, biar bos kami yang akan tentukan kemudian,” kata pengendali import dari Argentina.

Solari ditemui selepas me­nyaksikan pasukannya melakar kemenangan 3-0 ke atas Kuala Lumpur City (KL City) pada aksi Liga Super di Stadium Kuala Lumpur, Cheras kelmarin.

Pada aksi tersebut, skuad Harimau Selatan mengekalkan rekod bersih hasil jaringan yang dilakukan oleh Endrick Dos Santos, Arif Aiman Hanapi dan gol sendiri Romel Morales.

Mengulas mengenai perlawanan yang diharungi, Solari percaya masih ada ruang yang perlu diperbaiki oleh pasukan selain gembira apabila pemain-pemain baharu seperti Endrick dan Oscar Arribas tidak menunggu lama untuk menyesuaikan diri.

“Ini adalah perlawanan yang sukar dengan keadaan padang dan cuaca hujan telah menjejaskan misi kami untuk mempamerkan corak permainan berkualiti.

“Namun, pemain saya sudah menyahut cabaran untuk meraih kemenangan selesa ke atas pasukan yang bagus seperti KL City,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN