PETALING JAYA – Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) diminta menghormati Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berhubung hak pekerja termasuk hak untuk mendapat cuti sakit.
Presiden Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), J. Solomon berkata, kenyataan Presiden MEF meminta kemudahan cuti sakit dikaji semula kerana membebankan majlikan daripada segi kos menunjukkan majikan tidak berperikemanusiaan dan tidak menghormati nyawa pekerja.
“Sakit adalah fitrah kerana kita adalah manusia dan bukannya mesin. Deklarasi lLO Philadelphia yang diterima pakai pada tahun 1944 menyatakan, “buruh bukan komoditi”
“Deklarasi menekankan keperluan perlindungan pekerja daripada sakit, kecederaan dan kematian yang timbul daripada pekerjaan.
“Hak ini harus dihormati dan dipenuhi oleh majikan. Malaysia meratifikasi Konvensyen lLO 187 mengenai Rangka Kerja Promosi Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Presiden MEF, Datuk Syed Hussain Syed Husman berpandangan kemudahan cuti sakit wajar dikaji semula kerana ia membebankan majikan daripada segi kos.
Majikan di Malaysia didakwa berdepan kerugian sekitar RM5.05 bilion kesan daripada para pekerja yang mengambil cuti sakit.
Dalam pada itu, Solomon mengingatkan MEF berhubung Deklarasi Hak Asasi Manusia PBB dalam artikel 25 dan menurut beliau, adalah salah dari segi moral serta undang-undang menafikan atau mengurangkan hak pekerja untuk cuti sakit.
Ujarnya, majikan hanya tertumpu untuk membuat keuntungan untuk diri dan pemegang saham mereka, namun terlupa mereka bercakap tentang sesama warga Malaysia dan sesama manusia.
“Mengapa majikan perlu bercakap tentang kos cuti sakit pekerja, tetapi pada masa sama tidak mahu bercakap tentang keuntungan mereka peroleh hasil kerja keras pekerja.
“Bolehkah majikan dan MEF memberitahu apa keuntungan yang mereka peroleh. Berapa banyak mereka bayar dividen kepada pemegang saham,” katanya lagi.
Tambah beliau, daripada minta cuti sakit pekerja dikaji semula, majikan perlu mengambil langkah menyediakan persekitaran kerja yang kondusif dari segi kemudahan kewangan dan bukan kewangan yang pada jangka panjang akan menguntungkan majikan. – KOSMO! ONLINE














