fbpx

Kes pengganas domestik di AS melonjak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyokong bekas presiden, Donald Trump bertempur dengan anggota keselamatan dalam insiden rusuhan Capitol pada 6 Januari 2021.- AFP

WASHINGTON – Bilangan kes pengganas domestik di Amerika Syarikat (AS) melonjak 357 peratus sepanjang tahun 2013 hingga 2021 sekali gus menunjukkan insiden melibatkan keganasan semakin berleluasa di negara itu, demikian menurut laporan dikeluarkan Pejabat Akauntabiliti Kerajaan (GAO) seperti dilaporkan laman berita RT.

Pengganasan domestik di AS secara amnya ditakrifkan sebagai perbuatan jenayah yang membahayakan kehidupan masyarakat negara berkenaan serta bertujuan untuk memaksa penduduk awam serta mempengaruhi atau menjejaskan pentadbiran kerajaan.

Menjelang 2021, bilangan kes yang diklasifikasikan sebagai pengganas domestik dan dibuka kertas siasatan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) melonjak kepada 9,049 kes daripada 1,981 kes pada 2013.

Walaupun bilangan kes yang dibuka sebenarnya menurun sebanyak 23 peratus dalam tempoh tiga tahun pertama tempoh tersebut, ia kemudiannya melonjak lebih 490 peratus antara 2016 dan 2021.

Bilangan plot pengganas yang disyaki akan berlaku turut meningkat hampir tiga kali ganda iaitu daripada 81 plot pada 2014 kepada 456 plot pada 2021.

Sementara itu, bagi statistik Pejabat Analisis dan Perisikan di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) pula, ia menggariskan hanya 231 insiden keganasan berlaku antara 2010 dan 2021 dengan 35 peratus daripadanya mempunyai motif perkauman selain 32 peratus lagi berpunca daripada semangat antikerajaan, kata laporan GAO. 

Insiden-insiden itu bagaimanapun telah menyebabkan peningkatan dalam angka kematian. Meskipun tiada kematian dikaitkan dengan pengganas domestik pada 2011, seramai 32 orang terkorban pada 2019.

Melihatkan trend itu, GAO menggesa FBI dan DHS agar mencari jalan untuk bekerjasama bagi mencegah lebih banyak serangan pengganas di AS.

Laporan itu mendesak kerjasama lebih erat antara kedua-dua agensi penguatkuasaan undang-undang tersebut meskipun kedua-duanya menggunakan definisi yang berbeza untuk menjejaki kegiatan jenayah itu.

Selain itu, sebahagian daripada masalah itu, kata pegawai-pegawai adalah tiadanya pertuduhan jenayah yang berasingan bagi kes terorisme domestik.

“Ia juga tidak mempunyai senarai kumpulan di AS yang dikenali pasti sebagai organisasi pengganas domestik,” kata laporan berkenaan.

Seorang pegawai Jabatan Kehakiman menjelaskan bahawa tindakan mewujudkan kategori sedemikian hanya akan mencetuskan masalah dari segi perlembagaan. 

Pemberi maklumat FBI sebelum ini membantah apa yang mereka sifatkan sebagai kesilapan dalam penetapan kategori terhadap penduduk AS yang dianggap sebagai pengganas domestik berhubung dengan penglibatan sebilangan penduduk dalam insiden rusuhan Capitol yang tercetus pada 6 Januari 2021. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI