fbpx

Jeti jadi pasar terapung di Pulau Tengah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azli (kiri) bertanya khabar salah seorang peniaga yang menjual di atas perahu di pasar terapung Pulau Tengah, Kubang Kerian baru-baru-baru ini.

KOTA BHARU – Syarikat pengeluar produk kecantikan dan kesihatan, Abam Peah Holdings Sdn. Bhd. (Abam Peah) mengambil inisiatif sendiri dengan menjadikan jeti di kawasan Kampung Pulau Tengah, Kubang Kerian di sini sebagai pasar terapung.

Pengarah Urusan Abam Peah, Azli Mohd. Noor, 46, berkata, syarikat miliknya mula membangun dan membuka kawasan jeti sepanjang 700 meter yang diselenggara pihak Jabatan Pe­ngairan dan Saliran (JPS) itu sebagai lokasi pelancongan pada 10 Februari lalu.

Menurutnya, pasar terapung di Pulau Tengah itu diperkenalkan sebagai langkah pihaknya untuk membantu penduduk setempat berniaga pelbagai jenis makanan tradisional Kelantan dengan cara unik iaitu di atas perahu.

“Setakat ini, seramai 20 peniaga terdiri daripada penduduk di Kubang Kerian dan beberapa kampung lain berniaga di atas perahu. Semua peniaga ini hanya duduk di atas perahu semasa menjalankan sesi jual beli de­ngan pelanggan.

“Pasar terapung Pulau Tengah ini dibuka hanya pada hari Jumaat dan Sabtu bermula pukul 3 petang hingga 7 malam setiap minggu.

“Dalam sehari, dianggarkan seramai 500 pengunjung hadir ke sini untuk beriadah bersama keluarga dan membeli juadah yang dijual di atas perahu,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Azli memberitahu, pengunjung di pasar terapung Pulau Tengah boleh membeli hida­ngan laksa, aiskrim, lokcing, nasi berlauk dan pelbagai jenis kuih-muih tradisional.

Peniaga-peniaga menjual pelbagai jenis makanan di atas perahu di jeti Pulau Tengah, Kubang Kerian. – KAMARUL BISMI KAMARUZZAMAN

Menurutnya, perahu-perahu yang digunakan oleh peniaga akan ditambat dengan tali secara bersusun di tepi jeti untuk memudahkan urusan jual beli de­ngan pelanggan.

Katanya, beliau gembira dapat membantu penduduk setempat menjana pendapatan sendiri sekali gus usaha tersebut dapat memperkenalkan jeti di Pulau Tengah sebagai lokasi pelanco­ngan baharu di Kelantan.

“Setiap peniaga hanya membayar sewa perahu sebanyak RM10 sehari. Kutipan sewa itu saya akan gunakan untuk membayar upah orang untuk me­ngutip sampah, penduduk kampung yang menjaga tempat letak kereta dan sewa jaket keselamatan.

“Saya tidak memperoleh keuntungan langsung daripada usaha membangunkan jeti Pulau ­Tengah. Saya buat semua ini untuk membantu orang kampung dan mahu kawasan ini kembali menjadi tumpuan ramai,” kata­nya.

Kata Azli, jeti tersebut berada di bawah selenggaraan JPS dan setakat ini, pihak Abam Peah tidak menjalankan sebarang pe­ngubahsuaian untuk kegiatan perniagaan di situ.

Jelasnya, selain pasar terapung, Pulau Tengah menjadi lokasi tumpuan orang ramai menaiki bot untuk melihat kelip-kelip menyusuri Sungai Pengkalan Datu dengan menaiki bot pada waktu malam.

“Saya berharap kerajaan ne­geri dapat memberi tumpuan kepada pembangunan kawasan Pulau Tengah kerana ia berpotensi menjadi lokasi pelancongan baharu di negeri ini.

“Selain itu, saya menaruh harapan agar pasar terapung di Pulau Tengah dapat membantu lebih ramai penduduk kampung mencari rezeki sekali gus kawasan ini terkenal seperti pasar terapung di Bangkok, Thailand,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI