fbpx

Tidak sempat edar syabu RM15 juta dari Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein (dua kanan) menunjukkan syabu yang dirampas polis. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Dua lelaki tidak sempat menghantar syabu bernilai RM15 juta dari Kelantan ke Lembah Klang apabila ditahan di Rawang, kelmarin.

Kedua-dua suspek berusia 22 dan 23 tahun itu dicekup pukul 12.55 tengah hari ketika menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan siasatan mendapati kedua-dua suspek baru sahaja mengambil dadah yang disimpan dalam 503 bungkusan bertulisan Freeze-Dried Durian di Kelantan pada hari sama.

Katanya, mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap dan direkrut menerusi rangkaian pengedaran dadah.

“Siasatan mendapati dua suspek ini telah aktif sejak tiga bulan lalu dan memperoleh bayaran RM10,000 bagi setiap penghantaran dadah.

“Ini merupakan rampasan dadah terbesar pada tahun ini di Selangor dengan dadah dibawa masuk dari negara jiran,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Kata beliau, dadah tersebut sekiranya terlepas dalam pasaran boleh dibekalkan kepada 2.1 juta penagih dalam sehari.

Tambah Hussein, hasil ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek itu negatif dadah.

“Bagaimanapun, mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Polis sedang menjalankan siasatan untuk mengesan dan menyita harta-harta yang diperoleh hasil aktiviti pengedaran dadah menerusi Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1998,” katanya.

Beliau menegaskan suspek kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI