fbpx

Kerajaan sokong inisiatif baharu bidang teknologi hijau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Nazmi dan Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium, Narendan Maniam pada Program Lawatan Kerja Menteri ke Projek Penggunaan Semula Bio-Pepejal IWK Sebagai Baja Organik Bagi Tanaman Bukan Makanan, di Loji Rawatan Kumbahan Serantau Titiwangsa, hari ini. - Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menyokong penuh inisiatif baharu dalam bidang teknologi hijau selaras dengan usaha kerajaan melaksanakan pelan yang dirancang.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya gembira melihat pencapaian dan penghasilan produk inovasi yang dihasilkan oleh Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP) dan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) melalui inisiatif penggunaan semula biopepejal daripada rawatan air kumbahan bagi tujuan pembangunan baja organik tanaman bukan makanan.

Katanya, beliau bersyukur kajian penyelidikan dan pembangunan berskala komersil yang dibiayai melalui dana yang diperuntukkan di bawah Akaun Amanah Membangun dan Menaiktaraf Sistem Pembetungan Untuk Pembangunan Baharu (SCC JPP) ini telah mencapai tahap yang sangat membanggakan.

“Pemilihan syarikat IWK untuk menerajui projek penyelidikan dan pembangunan semula bi-produk sisa kumbahan ini sangat tepat memandangkan pengalaman dan kepakaran teknikal yang dimiliki IWK sebagai peneraju kepada industri pembetungan negara.

“Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak Koperasi Kebuniti Selangor Berhad (Kobuniti) yang diterajui oleh Tan Sri Abu Kassim Mohamed, dan para pasukan penyelidik bersama daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), atas usahasama yang telah dijalinkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas membuat lawatan kerja ke Loji Perintis Memproses Biopepejal Kepada Baja Pelet, di Loji Rawatan Kumbahan Serantau Titiwangsa, di sini hari ini.

Tambahnya, beliau berasa amat gembira melihat pencapaian dan penghasilan produk inovasi yang dihasilkan oleh IWK ini yang bukan hanya menyumbang kepada kelestarian alam sekitar tetapi juga mampu menjana penjanaan ekonomi daripada sektor air dan pembetungan.

“Saya berharap, lebih banyak inovasi sebegini dapat dijalankan, kerana ia sangat penting dalam usaha pengurusan air dan sanitasi yang lebih mampan.

“Saya yakin kerjasama dan sokongan daripada semua pihak mampu mempercepatkan sasaran mengurangkan pelepasan karbon Negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI