fbpx
Generasi muda kini semakin meminati seni muzik gambus.

Pergiat usaha perkenal gambus kepada generasi muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK di alam persekolahan, Siti Nur Shahirah Hussin telah meminati alat muzik tradisional.

Minat itu juga telah mendorongnya untuk menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor dalam bidang muzik.

“Ketika itu, saya ditawarkan untuk belajar dengan lebih mendalam alat muzik gambus. Saya juga menjadikan gambus sebagai major dalam pengajian ketika ini.

“Apabila pertama kali belajar main alat muzik gambus ini, saya amat tertarik dengan bunyi yang dihasilkannya,” kata gadis berusia 26 tahun itu.
Tambahnya, bunyi yang dihasilkan oleh gambus boleh memberi ketenangan kepada dirinya.

Gambus juga boleh dikatakan sebagai alat muzik yang versatil kerana boleh dimainkan untuk pelbagai genre lagu menggunakan teknik berbeza.

Biarpun telah bermain gambus sejak 2015, namun Siti Nur Shahirah mengakui dirinya masih belum menguasai alat muzik itu sepenuhnya.

“Saya boleh menguasai dengan baik alat muzik ini dalam tempoh sebulan.

“Namun, masih terdapat beberapa teknik yang harus saya titik beratkan bagi permainan lagu-lagu tradisional Malaysia, Arab dan moden,” jelasnya.

Siti Nur Shahirah kini sedang menyambungkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang penyelidikan muzik.

Mengulas tentang penerimaan generasi muda terhadap muzik gambus, dia berpandangan, ia semakin diterima baik.

Jelasnya, ramai generasi muda sudah mula menunjukkan minat dengan alat muzik itu serta lagu-lagu tradisional Melayu.

Tambahnya, saingan yang kuat daripada alat muzik moden dan Barat sedikit sebanyak memberi kesan kepada gambus.

“Bagi menarik generasi muda meminati gambus, mereka perlu diberi pencerahan melalui bengkel atau pertandingan yang melibatkan alat muzik ini.

“Perbanyakkan lagi lagu-lagu yang menggunakan gambus supaya masyarakat termasuk generasi muda boleh mengenali alat muzik ini,” terangnya.

Tambahnya, ketika diberi peluang bermain gambus di universiti, dia sendiri tidak cukup mengenali alat muzik tersebut.

“Jadi, pihak berwajib perlu mengambil langkah segera bagi menonjolkan alat muzik ini serta seni-seni muzik tradisional lain kepada masyarakat,” jelasnya.

Dalam usaha memartabatkan lagi alat muzik gambus di negara ini, satu Festival Gambus Johor (FGJ) telah diadakan di Komtar JBCC, Johor baru-baru ini.

RAJA ZULKARNAIN (kiri) menunjukkan alat muzik gambus kepada pengunjung yang hadir ke FGJ.

Festival tersebut telah dianjurkan oleh Pertubuhan Gambus Malaysia dengan kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Think City.

Festival berkenaan juga disokong oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di bawah inisiatif program Geran Pusat Bandaraya Johor Bahru: Seni, Warisan dan Budaya.

Geran itu bertujuan menyokong inisiatif-inisiatif berasaskan komuniti bagi mengaktifkan semula Pusat Bandaraya Johor Bahru.

Presiden Pertubuhan Gambus Malaysia, Raja Zulkarnain Raja Mohd. Yusof berkata, penganjuran festival tersebut diharap dapat mendidik dan memperkenalkan gambus kepada orang ramai.

Menurutnya, berbanding alat muzik lain, gambus masih kurang dikenali oleh orang ramai.

“Melalui penganjuran FGJ, kami berharap ia boleh memberi kesedaran kepada orang ramai tentang wujudnya alat muzik gambus.

“Festival ini telah diadakan sejak 2012. Pada setiap tahun, kami cuba menjadikan FGJ sebagai sesuatu yang menarik.

“Ia bagi membolehkan masyarakat mengenali dan memahami dengan lebih mendalam tentang alat muzik ini,” jelasnya lagi.

Antara pengisian menarik sepanjang festival tersebut adalah sesi bicara gambus, pameran foto pembuatan gambus, kelas gambus dan persembahan gambus.

Selain itu, dua tokoh seni dan budaya iaitu Datuk Prof. Emeritus Dr. Mohamed Ghouse Nasuruddin dan Dr. Mohd Nizam Attan turut hadir ketika sesi bicara gambus.

Melalui sesi bicara itu, pengunjung boleh mendapat informasi menarik berkaitan muzik gambus.

Menurut Raja Zulkarnain, sesi pameran foto berkaitan pembuatan gambus juga antara pengisian penting pada festival itu.

Jelasnya, ketika ini, tinggal seorang sahaja pembuat gambus yang masih aktif di Malaysia.

“Jika tiada generasi muda yang mewarisi kaedah pembuatan gambus ini tidak mustahil alat muzik ini akan pupus pada masa hadapan.

“Pada 2018, saya telah membuat kajian tentang gambus di Istanbul, Turkiye.

“Ketika itu, saya berkesempatan merakam gambar penghasilan gambus dan ia dipertontonkan kepada pengunjung pada festival kali ini,” katanya.

Berbicara tentang gambus, Raja Zulkarnain menjelaskan, ia merupakan alat muzik yang berasal dari Asia Barat.

Katanya, gambus merupakan alat muzik bertali pertama yang wujud sejak zaman Nabi SAW.

Tambahnya, ketika itu, ia dimainkan untuk berdakwah dan mengiringi bacaan al-Quran.

“Alat muzik ini dibawa masuk ke negara kita pada abad ke-15 oleh para pedagang. Seiring peredaran masa, ia telah berubah menjadi satu bentuk hiburan.

“Hari ini, saya melihat gambus lebih kepada hiburan dan ia sangat sinonim dengan Johor.

“Hal ini kerana gambus turut digunakan dalam persembahan ghazal dan tarian zapin,” ulasnya.

Biarpun gambus merupakan alat muzik yang menyerupai gitar, tetapi ia lebih kecil dan mempunyai bahagian badan separuh bulat.

Raja Zulkarnain menjelaskan, secara asasnya, seseorang yang ingin mahir bermain gambus perlu mengambil masa sekitar tiga bulan.

Terangnya, mereka yang mahir bermain gitar akan lebih mudah belajar gambus kerana kedua-duanya mempunyai banyak persamaan.

Dalam pada itu, Raja Zulkarnain menjelaskan, terdapat beberapa institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengajian berkaitan permainan gambus.

Justeru, dia berharap, agensi kerajaan dapat menggiatkan lagi usaha untuk memperkenalkan alat muzik berkenaan kepada masyarakat.

Terangnya, usaha yang dimainkan oleh agensi kerajaan dilihat sangat lemah untuk mempopularkan alat muzik tradisional berkenaan.

“Kebanyakan festival, bengkel dan majlis berkaitan gambus yang kami anjurkan kurang mendapat sokongan daripada agensi kerajaan.

“Setakat ini, kami hanya mendapat bantuan dan sokongan daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

“Kami selalu buat festival, pemeran dan konsert berkaitan gambus kerana platform mempopularkan alat muzik ini masih terhad,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN