fbpx

Kes demam denggi meningkat 9.3 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Jumlah kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi ke-7 tahun 2023 dilaporkan sebanyak 2,149 kes berbanding 1,967 pada minggu sebelumnya iaitu menyaksikan peningkatan sebanyak 182 kes ataupun 9.3 peratus.

Pada masa sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, empat kematian akibat komplikasi demam denggi turut dilaporkan dalam tempoh berkenaan.

“Kumulatif kes demam denggi dilaporkan sehingga kini ialah sebanyak 15,243 kes berbanding 4,950 kes bagi tempoh sama tahun 2022 iaitu peningkatan sebanyak 10,293 atau 207.9 peratus.

“Selain itu, sebanyak 13 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding satu kematian bagi tempoh sama pada tahun 2022,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 79 lokaliti ‘hotspot’ dilaporkan pada minggu tersebut berbanding 86 lokaliti ‘hotspot’ pada minggu sebelumnya dengan 53 lokaliti ‘hotspot’ berada di Negeri Selangor, Sabah (20), Kuala Lumpur dan Putrajaya (4) selain Pulau Pinang (2).

“Survelan Chikungunya merekodkan sebanyak lapan kes pada minggu tujuh dengan empat kes dari Pulau Pinang, Selangor (3) selain Kuala Lumpur dan Putrajaya (1). Jumlah kes Chikungunya setakat ini ialah 94.

“Bagi survelan Zika, sebanyak 328 sampel darah dan satu sampel urin telah dijalankan saringan dan hasil kesemuanya adalah negatif,” jelasnya.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, aktiviti berkumpul, beriadah dan kegiatan rekreasi bersama rakan-rakan atau keluarga adalah aktiviti sering dilakukan selama tempoh cuti persekolahan.

“Namun, orang ramai tidak boleh leka bahawa kegiatan itu mungkin serentak dengan waktu puncak gigitan nyamuk Aedes iaitu pada pukul 6 hingga 8 pagi dan 6 petang hingga 8 malam.

“Oleh itu, pakai pakaian berwarna cerah dan menutup anggota badan serta gunakan bahan repelan nyamuk sekiranya melakukan aktiviti luar terutamanya pada waktu puncak gigitan nyamuk Aedes,” nasihatnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI