fbpx

Cyclocross bakal hangatkan sukan berbasikal negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ACARA cyclocross mungkin masih baru di Malaysia tetapi sukan ini cukup popular di benua Eropah dan turut mempunyai saingan Piala Dunianya yang tersendiri. - AFP

KUALA LUMPUR – Saingan Cyclocross atau lebih dikenali dengan singkatan CX bakal dianjurkan buat julung kalinya membabitkan dua perlumbaan tempatan dan diakhiri satu saingan peringkat antarabangsa.

Perlumbaan berbasikal mencabar itu bakal dianjurkan Persatuan Rakan Promosi Pelancongan Malaysia dan badan induk berbasikal negara, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) membabitkan 10 kategori.

Menurut Ketua Pegawai Pemasaran Cyclocross, Aman Tabarani, CX adalah saingan yang membabitkan tiga disiplin utama berbasikal dalam satu masa iaitu basikal bukit, jalan berturap dan merentas halangan.

“Umumnya CX lebih dianjurkan di Eropah dan Amerika Syarikat dari bulan Oktober hingga Februari setiap tahun mengikut kalendar pertandingan siri dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI)

“Kali ini peserta CX di Malaysia berpeluang mempamerkan kemahiran mereka dengan menyertai tiga siri perlumbaan di Perak dan Selangor. Pelumba akan mengharungi halangan yang direka khas pada litar CX.

“Ia merangkumi halangan semula jadi dengan bentuk permukaan semula jadi serta laluan teknikal yang pastinya mencabar dan memberi kepuasan pada peserta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penganjuran tiga siri utama kejohanan itu bakal membuka peluang kepada pelumba tempatan dan antarabangsa selain menjadi anatara acara promosi kepada sektor pelancongan sukan di Malaysia, khususnya negeri tuan rumah.

Siri 1 pada 11 dan 12 Mac ini di Kinta Riverfront, Taman DR Seenivasagam Ipoh, Perak dan dianjurkan seiring dengan Hari Landskap Negara yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada hari yang sama turut diadakan acara seperti Unity Ride dan perlumbaan Criterium serta karnival selain kategori-kategori sampingan yang lain.

Penyertaan terhad setiap kategori dengan hanya 1,000 peserta bakal beraksi untuk setiap siri penganjuran dan 20 pelumba teratas akan memperolehi mata kemenangan bagi melayakkan diri ke pusingan Grand Final.

Hadiah wang tunai keseluruhan bagi setiap siri perlumbaan berjumlah RM16,000 dan pemenang juga bakal menerima jersi bagi setiap kategori dipertandingkan.

Peserta boleh mendaftar dengan melayari laman sesawang www.sports360.my atau www.bikeaway.com.my ataupun boleh berhubung secara langsung dengan sekretariat di talian 018-909 7203. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI