fbpx

Kejohanan cyclocross bakal uji kemampuan peserta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEJOHANAN Cyclocross memberi peluang kepada peminat sukan berbasikal menguji kemampuan mereka dalam tiga siri yang akan bermula di Perak bulan depan. - AFP

KUALA LUMPUR – Buat julung kalI saingan Cyclocross bakal dianjurkan di Malaysia yang membabitkan tiga siri perlumbaan tempatan yang diakhiri dengan satu pusingan bertaraf antarabangsa.

Perlumbaan berbasikal yang lebih dikenali dengan nama singkatan CX itu dianjurkan oleh Persatuan Rakan Promosi Pelancongan Malaysia dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dengan membabitkan enam kategori penyertaan.

Ketua pegawai operasi kejohanan, Mohd. Amrin Zairy Adham berkata, CX merupakan gabungan tiga disiplin utama berbasikal dalam satu masa iaitu basikal bukit, basikal lebuh raya dan merentas halangan.

“CX lebih dianjurkan di negara-negara barat seperti Eropah dan Amerika Syarikat sekitar bulan Oktober hingga Februari setiap tahun mengikut kalender siri dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“Kali ini komuniti CX di Malaysia berpeluang untuk mempamerkan kemampuan mereka menyertai tiga siri perlumbaan di Perak, Putrajaya dan Pahang dengan mengharungi halangan yang direka khas di dalam litar.

“Ia merangkumi halangan semula jadi, bentuk permukaan muka bumi serta laluan teknikal yang pastinya mencabar, memberi kepuasan serta pengalaman unik kepada para peserta dan juga penonton,” katanya.

Selain membuka peluang kepada pelumba tempatan dan antarabangsa, penganjuran itu juga mampu mempromosikan sektor pelancongan sukan di Malaysia khususnya negeri-negeri yang menjadi tuan rumah.

Siri 1 bakal membuka tirainya pada 22 dan 23 Oktober 2022 di Gunung Lang, Ipoh, Perak, manakala Siri 2 pula dijadualkan fi Padang Semarak Wetlands, Putrajaya pada 26 dan 27 November depan.

Siri 3 yang juga aksi Grand Final pula akan dianjurkan di Taman Awam Bera, Pahang pada 17 Disember selain satu perlumbaan khas Kejohanan Cyclocross Antarabangsa Malaysia bakal diadakan di venue sama keesokannya (18 Disember).

Empat kategori lelaki yang dipertandingkan ialah terbuka, master, bawah 23 tahun dan mountain bike (MTB) terbuka, manakala dua acara terakhir adalah terbuka wanita dan MTB terbuka wanita.

“Hadiah wang tunai keseluruhan bagi setiap siri perlumbaan berjumlah RM11,500 dan Grand Final akan memenangi RM30,000.

“Setiap pemenang juga bakal merangkul jersi utama kejohanan bagi setiap kategori yang dipertandingkan,” kata Amrin yang juga bertindak sebagai pengarah acara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI